Inisiatif indahkan kawasan kampung

Inisiatif indahkan kawasan kampung

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Dalam usaha mengindahkan dan menjaga persekitaran kawasan kampung, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor Mengkubau mengambil inisiatif melaksanakan Projek Memotong Rumput bagi peringkat pertama.

Projek yang diadakan baru-baru ini itu menumpukan kawasan Jalan Utama terutama di simpang masuk ke kawasan Perumahan Panchor, Mengkubau.

Semasa projek tersebut, Pemangku Ketua Kampung RPN Panchor, Mengkubau Pengiran Haji Aliuddin bin Pengiran Haji Damit menjelaskan, kempen seumpama ini merupakan salah satu usaha murni bagi mencantikkan kampung dengan tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata.

“Usaha ini juga adalah usaha berterusan ke arah meningkatkan perpaduan kerjasama di kalangan ahli jawatankuasa MPK bersama penduduk kampung dan dengan adanya kempen seperti ini juga ia dapat membawa penduduk kampung untuk meneruskan aspek kebersihan supaya penyakit-penyakit dapat dihindarkan,” katanya lagi.

Kerja gotong-royong memotong rumput di kawasan RPN Panchor, Mengkubau.
Kerja gotong-royong memotong rumput di kawasan RPN Panchor, Mengkubau.

Sementara itu, Ketua Biro Kemasyarakatan, Dayang Fatimah binti Haji Jamil yang juga ahli Jawatankuasa MPK RPN Panchor, Mengkubau semasa dihubungi menjelaskan, projek ini dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di mana peringkat kedua akan diadakan pada 30 Oktober 2016.

Beliau seterusnya menambah, dalam projek ini, penglibatan penduduk kampung amat menggalakkan dan selain mengadakan projek memotong rumput, beberapa aktiviti lain seperti membersihkan kawasan dan longkang-longkang juga diadakan secara bergotong-royong.

“Inisiatif ini dilaksanakan bukan saja untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli dan penduduk kampung tapi ia secara tidak langsung membantu pihak kerajaan dengan membuat kerja gotong-royong membersihkan kawasan kampung,” jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA