Inisiatif jana kecekapan komunikasi Bahasa Inggeris pelajar

Inisiatif jana kecekapan komunikasi Bahasa Inggeris pelajar

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Unit Bahasa Inggeris dan Bahasa Lain, Jabatan Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Perkhidmatan Pendidikan CfBT (B) Pte Ltd telah melancarkan ‘Magic Moment in Talk … in the English classroom’ di dewan utama bangunan baru kementerian berkenaan, hari ini.

Pelancaran telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Kurikulum, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi, selaku tetamu kehormat.

Dalam ucapan alu-aluannya, tetamu kehormat menggalakkan guru-guru untuk menggunakan sumber tersebut sebagai cara membina kecekapan komunikasi dan linguistik para pelajar mereka, selain memberi manfaat kepada keyakinan dan harga diri pelajar.

‘Magic Moment in Talk … in the English classroom’ yang lebih kepada sumber pembelajaran telah dihasilkan oleh Kumpulan Berkepentingan Khas (SIG) yang diketuai oleh CfBT, dan melibatkan guru-guru Bahasa Inggeris sekolah menengah tempatan mahupun luar negara yang berkhidmat di Brunei Darussalam.

Haji Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran itu.
Haji Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran itu.
Salah seorang wakil dari sekolah-sekolah menengah menerima buku program yang disampaikan oleh Haji Abdul Rahman.
Salah seorang wakil dari sekolah-sekolah menengah menerima buku program yang disampaikan oleh Haji Abdul Rahman.

Sumber pembelajaran itu menyediakan guru-guru Bahasa Inggeris dengan pelbagai aktiviti menarik yang direka untuk melibatkan pelajar secara aktif dalam komunikasi lisan berkaitan berbagai-bagai topik, yang dapat memperkukuhkan kemahiran lisan di kalangan pelajar program ‘O’ Level.

Selepas pelancaran, para peserta menyaksikan tayangan video mengenai sumber pembelajaran berkenaan dan penyampaian buku maklumat mengenai sumber itu oleh tetamu kehormat kepada pengetua sekolah dan juga perwakilan daripada sekolah-sekolah kerajaan, swasta, Arab dan kolej.

Turut hadir di majlis itu ialah Pengerusi bersama ahli jawatankuasa majlis dan juga Pengurus cawangan CfBT Brunei, Dr Greg Keaney, para pegawai kerajaan dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

ARTIKEL YANG SAMA