Inisiatif kukuh produk pelancongan

Inisiatif kukuh produk pelancongan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan untuk mempelbagaikan ekonomi negara termasuk meletakkan peranan yang penting ke atas sektor pelancongan sebagai salah satu perangsang ekonomi yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan mapan ekonomi negara.

Walaupun industri pelancongan Brunei telah menunjukkan pertumbuhan yang baik dengan kadar pertumbuhan tahunan di antara 6 hingga 7 peratus sejak 2012, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) berusaha meneruskan matlamatnya dalam mempelbagaikan ekonomi dan pertumbuhan dengan menjana peluang pekerjaan, mempromosikan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana serta mempromosikan pelancongan domestik atau pelancongan dalam negeri.

Peranan penting sektor pelancongan serta maklumat mengenai industri pelancongan negara itu dikongsi oleh Pegawai Pelancongan, KSSUP, Awangku Zulkhairi bin Pengiran Abdul Razak semasa taklimat mengenai ‘Pelancongan Brunei’ semasa Penutup Program Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN yang berlangsung di Bangunan KSSUP, baru-baru ini.

Dalam taklimat itu, Awangku Zulkhairi berkata, di antara produk-produk pelancongan utama yang dikenali oleh para pelancong adalah termasuk keunikan Kampong Ayer di ibu negara dan Taman Negara Ulu Temburong serta Batang Duri di Daerah Temburong.

Manakala itu, beberapa produk pelancongan yang mula dikenali adalah termasuk kawasan pantai negara seperti Pantai Serasa, Pantai Muara, Pantai Berakas, Pantai Seri Kenangan, Pantai Meragang dan Pantai Tungku serta taman-taman hutan rekreasi seperti Taman Rekreasi Sungai Basong, Taman Rekreasi Hutan Simpanan Berakas, Taman Rekreasi Bukit Shahbandar dan Taman Rekreasi Tasek Lama.

Para peserta program mendengar penjelasan yang diberikan dalam taklimat mengenai sektor pelancongan Brunei.
Para peserta program mendengar penjelasan yang diberikan dalam taklimat mengenai sektor pelancongan Brunei.

Jelasnya lagi, kegiatan pelancongan tidak hanya terhad kepada alam semula jadi dan kebudayaan semata-mata, ia juga meliputi kegiatan menyelam, memerhati burung, pelancongan Islam, pelancongan perubatan, pelancongan pelayaran, pelancongan pendidikan, MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan acara), pengembaraan, inap desa, budaya dan pelancongan berasaskan komuniti.

Menyentuh mengenai pelancong antarabangsa dari 10 buah negara teratas yang melancong ke Brunei pada 2015, Malaysia berada di tempat pertama dengan mencatatkan sebanyak lebih 57,000 orang iaitu kira-kira 26.6 peratus diikuti dengan China (36,886 orang, 16.9 peratus), Filipina di tempat ketiga (17,922 orang, 8.2 peratus), dan Indonesia (17,152 orang, 7.9 peratus).

Sementara itu, Singapura berada di tempat kelima dengan mencatatkan lebih 16,000 orang atau kira-kira 7.4 peratus, United Kingdom (11,129 orang, 5.1 peratus), Australia (9,972 orang, 4.6 peratus), India (6,379 orang, 2.9 peratus), Thailand (5,831 orang, 2.7 peratus) dan Jepun di tempat ke-10 dengan lebih 4,336 orang atau kira-kira 2 peratus.

Manakala itu, tujuan lawatan para pengunjung ke Brunei bagi tahun 2015 menunjukkan bahawa sebilangan besar daripada mereka iaitu lebih 88,000 orang atau 40.7 peratus adalah untuk meluangkan waktu bercuti, diikuti dengan lebih 40,000 orang (19.6 peratus) bagi tujuan perniagaan, mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dan lebih 26,000 (12.1 peratus) bagi tujuan melawat keluarga dan rakan-rakan.

Pada masa yang sama, inisiatif-inisiatif terus dilaksanakan untuk mengukuhkan lagi produk pelancongan di Brunei dengan mengekalkan kualiti dan standard produk pelancongan, menitikberatkan keselamatan para pelawat, meningkatkan keselesaan pelawat dan tahap perkhidmatan yang diberikan oleh pelbagai pihak yang berkenaan seperti kakitangan galeri, muzium dan hotel.

Manakala usaha lain, seperti memantapkan ilmu pengetahuan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi pelancongan termasuk pemandu pelancong dan operator pelancong, memperbaiki lagi keberkesanan pemasaran dan promosi pelancongan termasuk menggunakan ICT, menggunakan kaedah kerjasama swasta awam (PPP) untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan serta mempromosikan produk tempatan sebagai barangan buah tangan.

Semasa taklimat, Awangku Zulkhairi juga menjelaskan mengenai inisiatif-inisiatif hala tuju hadapan bagi sektor pelancongan negara termasuk terus memantau, meningkatkan dan memperbaiki lagi daya tarikan produk atau destinasi pelancongan utama negara dengan meningkatkan kebersihan, akses, keselamatan, sekuriti dan keselesaan dari segi kualiti serta penghantaran perkhidmatan untuk menarik pelawat baru dan sedia ada.

Selain itu, turut menubuhkan mekanisme bagi pergerakan bebas kakitangan pelancongan yang berkemahiran dan diiktiraf di rantau ASEAN menerusi Mutual Recognition Arrangement on Tourism Profesional (MRA), mempromosikan pelaburan sektor swasta dalam industri pelancongan menerusi pendekatan PPP, meningkatkan lagi sistem pengangkutan sedia ada bagi pelancong di Brunei serta pemasaran dan promosi produk-produk pelancongan menerusi penggunaan ICT dan media sosial.

ARTIKEL YANG SAMA