Inisiatif lengkapkan pelajar

Inisiatif lengkapkan pelajar

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Pelbagai inisiatif bagi memastikan pelajar menerima pendidikan dan mempunyai ilmu pengetahuan, kemahiran inovatif dan keperibadian terpuji serta menjadi insan yang syumul telah diungkayahkan oleh Kementerian Pendidikan.

Ketua Bahagian Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Awang Mohamed Jais bin Haji Abdul Rahman menekankan perkara itu ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Student Progress Examination (SPE) dan Peperiksaan Akhir Tahun 2016 yang berlangsung di Dewan Serba guna Sekolah Menengah Sayyidina Hassan hari ini.

Menurutnya, Sistem Pendidikan Abad ke-21 (SPN21) merupakan platform yang mampu membantu pelajar mencapai kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, berdikari, kreatif, inovatif dan mempunyai nilai keusahawanan sekali gus mempersiapkan mereka menempuhi kehidupan dunia yang serba canggih.

Manakala Secondary Education Initiative (SEI) pula merupakan satu inisiatif kementerian memastikan pendidikan di peringkat menengah mencapai sasaran 60 peratus iaitu lima ‘O’ Level ke atas pada tahun 2017. Ia memfokuskan lima bidang utama iaitu prestasi dan akauntabiliti, kehadiran dan faktor sosial, kepimpinan, pengajaran dan pembelajaran dan ‘cross cutting enabler.’

Menurutnya lagi, untuk itu, pelbagai program dirancang dan dilaksanakan dalam memastikan bidang utama iaitu pengjaran dan pembelajaran dapat dipertingkat bagi mencapai sasaran tahun depan.

Tetamu kehormat semasa menyempurnakan penyampaian sijil.
Tetamu kehormat semasa menyempurnakan penyampaian sijil.

Antara program yang dirancang dan yang telahpun dilaksanakan ialah Program Pembangunan Profesional, Sistem Buddy, program latihan, memantapkan jawatankuasa berasaskan sekolah dan mengukuhkan ketua kluster.

Perlaksanaan program ini adalah bertujuan semata-mata bagi mencapai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang maksimum di bilik-bilik darjah, katanya.

Beliau juga menyeru ibu bapa untuk sentiasa membantu dan memantau secara berterusan perkembangan pelajaran anak-anak mereka di rumah antaranya seperti memastikan semua kerja rumah disiapkan seperti yang diarahkan oleh guru ataupun anak-anak mengulangkaji pelajaran secara berterusan dan banyak lagi.

Majlis itu kemudian menyaksikan tetamu kehormat majlis menyempurnakan penyampaian hadiah cemerlang kepada pelajar-pelajar Tahun 7, 8, 9, 10 dan 11, penyampaian hadiah cemerlang kepada pelajar-pelajar setiap subjek bagi Tahun 7, 8, 9 dan 10, anugerah pelajar cemerlang keseluruhan Tahun 7, 8, 9 dan 10, Anugerah Pelajar Cemerlang Program Perason BTEC dan penyampaian hadiah dan sjiil kepada pelajar pra-vokasional.

ARTIKEL YANG SAMA