Inisiatif lindungi hutan paya gambut

Inisiatif lindungi hutan paya gambut

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Dalam usaha memberi kesedaran terhadap pelindungan hutan paya gambut, Brunei Shell Petroleum (BSP) dengan kerjasama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta agensi berkaitan mengadakan perjumpaan pelaksanaan Jerayawara Kesedaran Hutan Paya Gambut dan Kebakaran Gambut 2016 hari ini.

Perjumpaan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Globalisasi kementerian itu dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Nadi Borneo/Pusat Penyelidikan dan Inovasi Biodiversiti, Awang Mahmud bin Haji Yussof.

Beliau semasa ditemui pada perjumpaan itu menjelaskan tujuan perjumpaan ini adalah sebagai langkah awal bagi membincangkan program kesedaran terhadap pentingnya melindungi paya gambut di negara ini untuk jangka panjang.

Menurutnya, “Jika hutan paya gambut tidak dipelihara dan lindungi daripada awal ia akan pupus kerana ia merupakan ekosistem yang terancam.”

Beliau menghargai inisiatif BSP terhadap Program Kesedaran Hutan Paya Gambut ini kerana ia bukan saja relevan kepada Nadi Borneo malah kepada Negara Brunei Darussalam.

Agensi berkaitan ketika sesi perjumpaan tersebut.
Agensi berkaitan ketika sesi perjumpaan tersebut.

“Seluas 90 ekar paya gambut yang terdapat di negara ini dan kawasan yang terbesar ialah Belait di mana paya gambut ini juga merupakan hutan yang hanya terdapat di negara dengan pokok-pokok yang unik dari segi ekosistemnya.

“Melihat keadaan cuaca yang panas tahun ini, kebakaran paya gambut tahun ini adalah yang paling teruk dihadapi dan keadaan ini juga akan turut dialami pada tahun hadapan disebabkan perubahan iklim,” jelasnya.

Beliau turut menekankan, jika hutan paya gambut dijaga dengan baik, negara tidak akan mengalami kebakaran gambut kerana ia banyak memberi manfaat kepada negara dan boleh dijadikan destinasi ekopelancongan.

Ia juga boleh memberi manfaat kepada penyelidikan sains kerana keunikannya dan ke arah ini, negara menyediakan kawasan paya gambut bertaraf lima bintang bagi mereka yang berminat untuk mengkaji paya gambut ini.

“Ini merupakan satu potensi untuk Brunei menyediakan perkhidmatan bertaraf lima bintang untuk hutan paya gambut ini,” jelasnya.

Dalam usaha melindungi hutan paya gambut ini pemeliharaannya bukan sahaja tertakluk kepada kerajaan, namun semua pihak perlu melindunginya, kerana jika tidak dilindungi, ia akan pupus seperti mana yang berlaku di negara lain.

Pada mesyuarat itu juga, Dayang Zuraidah Abdul Kamis dari BSP menyampaikan penerangan ringkas mengenai Hutan Paya Gambut di mana antara lain menggariskan pengenalan inisiatif jerayawara bagi program kesedaran paya gambut.

ARTIKEL YANG SAMA