Inisiatif mendalami undang-undang komersial

Inisiatif mendalami undang-undang komersial

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Mahkamah mempunyai peranan aktif dalam pembangunan undang-undang yang menyokong perdagangan, kewangan dan industri, serta fungsi undang-undang adalah menyediakan rangka kerja yang mana semua perniagaan mengoperasikan semua aktiviti ekonomi.

Dalam hal ini, Mahkamah Komersial yang baru sahaja ditubuhkan di Negara Brunei Darussalam diharap dapat memainkan peranan signifikan di negara ini.

Perkara ini ditekankan oleh Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi bin Dato Paduka Haji Kifli semasa berucap merasmikan Forum Undang-undang Komersial yang berlangsung di Bangunan Undang-undang dan Mahkamah, ibu negara, pagi tadi.

Turut hadir di majlis itu ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti POKSDSP Haji Mohd Salleh; Duta Besar British ke Brunei Darussalam, David Campbell; Peguam Cara Negara dan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohammad Juanda bin Haji Abdul Rashid serta pegawai-pegawai kanan di Pejabat Peguam Negara.

Yang Amat Arif seterusnya menyatakan, dalam globalisasi ekonomi yang semakin meningkat, peruntukan sistem keadilan bebas menjadi asas atau landasan di mana syarikat-syarikat memutuskan untuk menjalankan perniagaan dan membuat persetujuan.

Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Perasmian Forum Undang-undang Komersial.
Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Perasmian Forum Undang-undang Komersial.
Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati dan Duta Besar British ke Brunei Darussalam semasa hadir pada forum itu.
Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati dan Duta Besar British ke Brunei Darussalam semasa hadir pada forum itu.

“Setentunya, sangat penting dalam semua transaksi komersial bahawa hak pelabur dilindungi dan boleh dikuatkuasakan dan penguatkuasaan kontrak yang efisien adalah penting bagi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi sesebuah negara.”

Menurut Yang Amat Arif lagi, kemajuan ekonomi tidak dapat direalisasikan tanpa menghormati peraturan perundangan dan perlindungan hak-hak yang berkesan, kedua-duanya memerlukan sistem kehakiman bebas yang mentadbir kes-kes dengan cekap dan boleh diakses oleh orang ramai.

Ekonomi dengan badan kehakiman yang lebih cekap, di mana mahkamah dengan berkesan boleh menguatkuasakan kontrak obligasi, mempunyai lebih banyak pasaran kredit yang maju dan tahap perkembangan keseluruhan yang tinggi.

Sehubungan dengan itu, jelas Yang Amat Arif, adalah amat penting bagi peraturan perundangan dikekalkan dan mekanisme penyelesaian pertikaian perlu dilaksanakan.

“Usaha tersebut tidak boleh diteruskan dengan bersendirian dan pengamal undang-undang swasta serta peguam kerajaan penting kepada pembangunan Mahkamah Komersial dalam mempromosikan penggunaan mahkamah sebagai landasan yang cepat untuk menyelesaikan pertikaian komersial.”

Yang Amat Arif menyatakan lagi, pengamal undang-undang swasta dan peguam kerajaan harus bersedia untuk memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi memanfaatkan kepakaran undang-undang mereka dalam memberikan perwakilan secara langsung dan bantuan nasihat.

Beliau turut melahirkan harapan bahawa Mahkamah Komersial Brunei Darussalam akan menjadi daya tarikan bagi perdagangan dan pelaburan ke negara ini dan meningkatkan kecekapan sistem kehakiman secara keseluruhan dalam meningkatkan iklim perniagaan, menggalakkan inovasi dan menarik pelaburan langsung asing.

Selain itu, Yang Amat Arif juga berharap agar mahkamah yang baru ini akan dapat membesar dan berkembang untuk menjadi pusat kecemerlangan tindakan undang-undang.

Dengan penubuhan Mahkamah Komersial ini, tambah beliau, ia akan dapat membolehkan negara untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada komuniti perniagaan dan menawarkan mekanisme serta kemudahan penyelesaian pertikaian alternatif dan pilihan pengantaraan dalam memastikan penyelesaian segera.

Selepas Yang Amat Arif merasmikan forum berkenaan, majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan pengenalan yang telah disampaikan oleh Naib Presiden Bahagian Sivil Mahkamah Rayuan, Martin James Moore-Bick yang antara lain mengongsikan pengalaman beliau dan amalan-amalan terbaik yang dilakukan di Mahkamah Komersial England dan Wales.

Forum dua hari itu bertujuan untuk mendapatkan pengetahuan yang mendalam dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan undang-undang komersial di Brunei, United Kingdom dan di negara-negara lain, termasuk isu-isu prosedur dan keterangan, pengantaraan, penguatkuasaan dan penggubalan.

ARTIKEL YANG SAMA