Inisiatif menggalakkan PSI

Inisiatif menggalakkan PSI

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Sebagai inisiatif dalam menggalakkan Penyusuan Susu Ibu (PSI) secara eksklusif, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah menubuhkan Kumpulan Pendokong Penyusuan Susu Ibu.

Pelancaran Kumpulan Pendokong PSI bagi hospital berkenaan telah diadakan kelmarin di Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital RIPAS dan disempurnakan oleh Ketua Pentadbiran dan Pengurusan Operasi II, Malai Norain binti Sheikh Mohammad selaku wakil Ketua Pegawai Eksekutif Hospital RIPAS.

Dalam majlis tersebut lencana bagi ahli-ahli kumpulan PSI telah diagih-agihkan oleh wakil Ketua Pegawai Eksekutif, diikuti dengan sesi dialog perkongsian pengetahuan dan pengalaman oleh ibu-ibu yang telah berjaya melaksanakan penyusuan susu ibu secara eksklusif untuk bakal-bakal ibu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Kumpulan Solihah sokongan PSI yang dikendalikan oleh Hospital RIPAS merupakan individu yang memainkan peranan secara aktif dalam mempromosi, menyokong dan melindungi penyusuan susu ibu.

Kumpulan ini juga merupakan tempat rujukan ibu-ibu yang mengatasi masalah dalam penyusuan atau untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling.

Ketika pengagihan lencana kepada ahli-ahli Kumpulan Pendokong PSI.
Ketika pengagihan lencana kepada ahli-ahli Kumpulan Pendokong PSI.
Gambar ramai selepas acara tersebut berakhir.
Gambar ramai selepas acara tersebut berakhir.

Objektif ahli Kumpulan Pendokong PSI ini, mereka yang sentiasa bersedia untuk membantu ibu-ibu dan pasangannya untuk mengatasi masalah-masalah yang dialami sepanjang fasa menyusui anak damit iaitu secara eksklusif selama enam bulan dan diteruskan sehingga umurnya dua tahun atau lebih.

Ahli-ahli Kumpulan Pendokong PSI Hospital RIPAS terdiri daripada konsultan dan pakar pediatrik dan neonatologi pediatrik, pegawai-pegawai perubatan, pegawai dan kakitangan Hospital RIPAS, jururawat dan bidan serta ibu-ibu yang berjaya dalam penyusuan susu ibu

Mereka boleh dihubungi pada bila-bila masa melalui telefon atau membuat temu janji untuk berjumpa dengan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA