Inisiatif pemedulian pendidikan

Inisiatif pemedulian pendidikan

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Inisiatif dan campur tangan pelbagai pihak dalam memeduli pendidikan anak-anak daripada keluarga yang kurang bernasib baik merupakan sesuatu yang signifikan untuk memastikan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan belenggu kesusahan.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman memuji mengenai inisiatif dan campur tangan beberapa buah syarikat dan individu semasa berucap pada Majlis Penganugerahan Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Program ALAF BIBD 2016 di Dewan Indera Samudera, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, kelmarin.

Yang Berhormat Pehin memuji Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang menerusi Projek Perdana Tanggungjawab Sosial Korporat BIBD, menyediakan platform penajaan yang menjana pembelajaran sepanjang hayat untuk kecemerlangan dalam bidang pendidikan bagi masyarakat kurang bernasib baik ini, sekali gus memastikan peluang pekerjaan yang dinamik melalui skim bantuan bersistematik ini.

“Setakat ini, semenjak ia dilancarkan dalam tahun 2014, seramai 126 pelajar telah mendapat Anugerah ALAF termasuk 33 orang dari sekolah-sekolah Arab, sekali gus menjadikan mereka yang kurang upaya ini mendapat pendidikan teratur yang boleh melepaskan mereka daripada belenggu kesusahan dan lingkaran kemiskinan. Mereka ini akhirnya akan dapat berdiri sendiri kerana melalui pendidikan, seseorang itu mampu mengubah nasibnya.”

Menurutnya lagi, meskipun kerajaan menyediakan pelajaran percuma dan sentiasa memberikan peluang belajar sepanjang hayat, inisiatif seperti ini menjadi pemangkin dasar itu.

Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menyampaikan ucapan.
Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menyampaikan ucapan.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin bergambar ramai bersama tujuh pelajar berkeperluan khas yang menerima Anugerah Bursari Pendidikan Khas ALAF BIBD.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin bergambar ramai bersama tujuh pelajar berkeperluan khas yang menerima Anugerah Bursari Pendidikan Khas ALAF BIBD.

Ia sekali gus menandakan kesedaran bersama BIBD dan syarikat-syarikat lain serta masyarakat memaju dan menjayakan pendidikan golongan kurang bernasib baik di Brunei untuk jangka masa panjang, sejajar dengan matlamat menjadikan Brunei sebuah negara berkebajikan dengan rakyat yang berkesejahteraan, tambah Yang Berhormat Pehin.

“Saya difahamkan dana menjayakan inisiatif BIBD dengan program ALAF ini bersumber daripada sumbangan orang awam dan sektor korporat, wang zakat dan dana maslahat, seterusnya melalui tabung amal. Ini merupakan kaedah perkongsian yang sangat baik yang sangat digalakkan oleh Allah S.W.T,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman pula dalam ucapan menjelaskan, ALAF BIBD berjaya menyalurkan Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat kepada seramai lebih daripada 100 orang pelajar semenjak ditubuhkan tiga tahun lalu.

Menurutnya, mercu tanda kejayaan program tersebut juga telah dilanjutkan kepada Penganugerahan Brusari Pendidikan Khas yang disampaikan kepada tujuh orang pelajar berkeperluan khas di bawah Kementerian Pendidikan dan penganugerahan ‘Biasiswa ALAF Scholars’ yang mula diperkenalkan daripada pengajian Peringkat ‘O’, Pra Universiti hinggalah ke Pengajian Tinggi.

Beliau seterusnya menjelaskan Program ALAF BIBD berbeza dengan skim bantuan pelajaran yang lain, dengan set kriteria yang ketat dan pemilihan yang komprehensif, menjadikan program itu unik dengan menyediakan bantuan yang sistematik.

“Pemantauan yang teliti terhadap peningkatan mutu pembelajaran para pelajar ALAF BIBD oleh jawatankuasa petugas yang dibentuk dalam memastikan ketahanan kejayaan akan dapat dicapai, adalah satu kemestian bagi melahirkan generasi yang berilmu dan mapan, demi menjamin pembangunan tenaga manusia pada masa hadapan,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, dalam memastikan kesinambungan dan kejayaan program itu, beberapa usaha telah pun dilaksanakan antaranya ialah penubuhan Lembaga Pemegang Amanah ALAF BIBD yang bertanggungjawab dalam mengurus tadbir sumber dana dan mempersiapkan generasi belia dengan pelbagai kemahiran untuk memastikan kestabilan ekonomi negara.

“Alhamdulillah, kerja keras dan usaha guru-guru Hal Ehwal Pelajar ALAF telah pun menampakkan kejayaan besar kepada 14 orang pelajar ALAF yang menduduki Peperiksaan PSR 2015 dengan purata 99 peratus lulus memperoleh kredit A hingga C,” ujarnya.

Daripada 14 orang, tiga memperoleh 5A dan akan ditawarkan untuk meneruskan pengajian di Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) pada pertengahan tahun ini menerusi ‘Biasiswa ALAF Scholar’.

“Kami percaya dan yakin, hanya melalui kerjasama yang erat dan bersepadu dari semua pihak, Program ALAF BIBD ini akan menjadi lebih inklusif dalam mencapai kualiti pendidikan yang tinggi dan berprestij, sekali gus memastikan masa depan para pelajar ini akan lebih cemerlang dan gemilang serta menjadi kehidupan yang berkualiti tinggi,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA