Inisiatif program intervensi akademik jadi perhatian

Inisiatif program intervensi akademik jadi perhatian

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Keberkesanan inisiatif-inisiatif program intervensi akademik di sekolah-sekolah rendah di negara ini menjadi perhatian Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, semasa meneruskan siri lawatan ke dua buah institusi pendidikan pagi tadi.

Lawatan juga bertujuan bagi melihat kelancaran persediaan sekolah dan para pelajar dalam memulakan musim persekolahan bagi Tahun 2016 yang bermula pada 4 Januari 2016.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sekolah-sekolah yang dilawati kali ini ialah Sekolah Rendah Katok A, Kluster 1 dan Sekolah Rendah Tungku Kluster 1.

Turut menyertai rombongan Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Lawatan dimulakan di Sekolah Rendah Katok A, di mana ketibaan Yang Berhormat Pehin dan rombongan disambut Guru Besarnya, Dayang Jusita binti Haji Abdul Rahman dan Ketua Kluster 1, Dayang Marina Chek Bujang.

pg04_160108_b

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa melawat Sekolah Rendah Katok A, Kluster 1.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa melawat Sekolah Rendah Katok A, Kluster 1.

Semasa berada di sekolah itu, Yang Berhormat Pehin dan rombongan dibawa meninjau sesi pengajaran Bahasa Melayu di kelas Tahun 4A, pengajaran Bahasa Inggeris di Tahun 1, pengajaran Matematik di Tahun 5C dan pengajaran mata pelajaran Sains di Tahun 5B.

Siri lawatan di sekolah berkenaan berakhir dengan taklimat ringkas mengenai profil sekolah yang disampaikan oleh Dayang Jusita.

Turut diberikan perhatian oleh Yang Berhormat Pehin adalah prasarana sekolah dan keberkesanan inisiatif intervensi bagi pelajar-pelajar Tahun 6 yang akan menduduki Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2016.

Menurut kenyataan itu, Yang Berhormat Pehin juga menyarankan agar inisiatif-inisiatif intervensi bagi pelajar-pelajar dapat dimulakan lebih awal bagi mendapatkan keberkesanannya.

Pada tahun ini Sekolah Rendah Katok A, Kluster 1 mempunyai seramai 521 orang pelajar dan 39 orang tenaga pengajar.

Seterusnya rombongan Yang Berhormat Pehin meneruskan lawatan ke Sekolah Rendah Tungku, di mana ketibaan mereka dialu-alukan oleh Guru Besarnya, Hajah Norliha binti Haji Matali.

Ketika berada di sekolah ini, Yang Berhormat Pehin dan rombongan membuat lawatan ke bilik SENA (Special Education Need Assistant Teachers), pengajaran Bahasa Melayu di Tahun 6C, pengajaran Mata Pelajaran Ugama Islam di Tahun 6B dan juga sesi pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di Tahun 4D. Seterusnya Menteri Pendidikan dan rombongan dibawa meninjau perjalanan program intervensi kaunseling yang diadakan di dewan sekolah berkenaan.

Pada tahun ini Sekolah Rendah Tungku mempunyai seramai 569 orang pelajar dan seramai 46 orang tenaga pengajar.

Turut menyertai rombongan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahman bin Nawi, para pengarah dan pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan.

ARTIKEL YANG SAMA