Inisiatif ringan beban rakyat disambut baik

Inisiatif ringan beban rakyat disambut baik

KUCHING, 29 Jan – Inisiatif bagi meringankan beban rakyat diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 semalam, disambut baik oleh rakyat Sarawak.

Kalangan mereka yang ditemui Bernama hari ini berpendapat inisiatif berkenaan terutama pemberian beras percuma sebanyak 20kg setiap bulan kepada keluarga miskin tegar menerusi program MyBeras merupakan langkah yang sangat murni.

Roznie Mazlan, 52, memuji langkah kerajaan memperkenalkan program MyBeras yang menurutnya sudah pasti akan meringankan kesusahan golongan tidak berkemampuan.

Pegawai kanan kerajaan itu bagaimanapun berpendapat harus diwujudkan mekanisme untuk memastikan bantuan itu sampai kepada golongan sasar.

“Jangan pula ada pihak yang menyalahgunakan yang akhirnya nanti hanya menguntungkan segelintir pihak ataupun memanfaatkan golongan yang mampu tetapi menyisih mereka yang benar-benar memerlukannya,” katanya.

Suri rumah Alena Kang, 38, berpendapat program MyFarm Outlet akan membolehkan suri rumah mendapat barangan makanan seperti sayur dan buah-buahan pada harga yang lebih murah.

Beliau mencadangkan perlu ada pasukan pemantau atau penguat kuasa untuk memastikan barangan yang dijual di MyFarm Outlet benar-benar lebih murah seperti yang disarankan iaitu lima hingga 20 peratus.

Rose Mangal, 51, seorang jururawat yang bercadang menceburi bidang penanaman sayur berpendapat selain memanfaatkan suri rumah, MyFarm Outlet merupakan satu kaedah yang akan turut menguntungkan golongan petani dan peladang.

“Pekebun-pekebun kecil juga boleh menjual hasil mereka ke MyFarm Outlet, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan pasaran untuk produk mereka, sementara dijual kepada pengguna dengan harga yang lebih murah,” tambahnya.

Ahli perniagaan, Wilson Mapus, 36, yang menyambut baik peruntukan RM6 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana serta bantuan modal permulaan perniagaan, berkata pegawai yang terlibat perlu turun padang untuk memberi penjelasan dan pastikan ia memanfaatkan golongan yang benar-benar serius mahu berniaga.

“Ramai yang berminat untuk berniaga dan mahu mendapatkan bantuan yang disediakan kerajaan tetapi mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang cara untuk memohon selain syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Wilson berharap usahawan Bumiputera memanfaatkan peluang itu.

Sementara itu, seorang guru, Kepple Remis, 52, berkata keputusan kerajaan meneruskan empat program tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tahun 2016, membuktikan kerajaan komited dan terus mengutamakan sektor pendidikan dan pembangunan modal insan negara.

Katanya, pengumuman berkenaan adalah satu khabar gembira kepada rakyat kerana sebelum ini ada segelintir pihak yang mendakwa kerajaan menghentikan pemberian biasiswa berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan pelajar dan ibu bapa. – Bernama