Inisiatif tarik pelabur asing

Inisiatif tarik pelabur asing

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – India bukan sahaja rakan kongsi penting dalam keamanan, kestabilan dan kemakmuran kepada Negara Brunei Darussalam, malahan ia juga rakan perdagangan terbesar negara.

Untuk itu, Brunei mengalu-alukan sebarang pengukuhan, perluasan dan penerokaan peluang kerjasama lebih besar dalam bidang perdagangan di antara kedua-dua buah negara.

Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud (gambar) menekankan perkara itu ketika berucap merasmikan Ekspo India Investrade 2016 yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Sepakat, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas hari ini.

Menurut Dato Paduka Haji Mohd Roselan, dalam usaha menarik lebih ramai pelabur asing ke negara ini, Brunei Darussalam telah pun mengambil inisiatif memastikan ekosistem perniagaan dan persekitaran lebih kondusif serta mudah untuk memulakan perniagaan bagi pelabur tempatan dan luar negara.

“Salah satu inisiatif ini ialah akses kewangan, pasaran dan ruang perindusrian serta program pembangunan efektif bagi mempertingkatkan kapasiti, kemampuan dan kecekapan.

pg01_160916_a

“Manakala pendaftaran perniagaan juga boleh dibuat secara dalam talian dan perniagaan boleh dijalankan dalam masa 24 jam selepas pendaftaran. Penubuhan Darussalam Enterprise yang juga dikenali sebagai DARE turut berperanan mempertingkatkan lagi usaha mempromosi perdagangan terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Menurutnya lagi, Brunei juga menubuhkan pusat sehenti, iaitu Pusat Sokongan Perniagaan di mana syarikat-syarikat boleh memohon bantuan atau maklumat mengenai perniagaan mereka serta proses kelulusan berpusat, mengurangkan tempoh pemprosesan dalam usahanya menarik lebih banyak pelabur ke negara ini.

Manakala Baginda Sultan, dalam titah Sambutan Tahun Baru 2016, berkenan mendedahkan reformasi ekonomi penting untuk mempelbagaikan ekonomi negara, dengan menubuhkan Jawatankuasa Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Industri Hiliran bagi menyelaraskan proses kelulusan semua projek FDI dan menyediakan pusat hubungan tunggal bagi projek-projek.

Baginda Sultan juga menitahkan untuk mempelbagaikan ekonomi dalam bidang pertanian, perikanan, pembuatan dan sektor perkhidmatan termasuk logistik dan pelancongan.

Dato Paduka Haji Mohd Roselan juga menekankan bahawa Brunei Darussalam pada ketika ini menumpukan dalam beberapa sektor yang mengambil kesempatan daripada kekuatan negara yang mampu membangunkan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Antara kekuatan itu termasuklah pentauliahan Islam melalui Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), imej sebagai 10 negara terkemuka yang memelihara hutan dan persekitarannya, belia berpendidikan dan kestabilan dalam makro-ekonomi.

Dato Paduka Haji Mohd Roselan bersama Nagma M.Mallick merasmikan Ekspo ‘India Investrade 2016’ yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Sepakat, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan bersama Nagma M.Mallick merasmikan Ekspo ‘India Investrade 2016’ yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Sepakat, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Dengan kekuatan itu, negara menyasarkan lima pelaburan utama iaitu halal, industri kreatif dan teknologi, perkhidmatan perniagaan, pelancongan dan industri hiliran daripada minyak dan gas, katanya.

Manakala Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Nagma M. Mallick dalam ucapannya, mengatakan Ekspo India Investrade ini merupakan peluang besar bagi pelabur India untuk mengenali lebih mendalam mengenai Brunei Darussalam.

“Ini merupakan peluang baik bagi para pelabur India untuk mengenali lebih dekat lagi Brunei kerana negara ini mempunyai banyak kelebihan termasuklah lokasinya di tengah rantau timur ASEAN, statusnya sebagai anggota pengasas pengaturan perdagangan serantau seperti ASEAN dan TPPA, keamanan dan ketenteramannya, peraturan undang-undangnya dan sistem undang-undang yang sangat baik berasaskan English Common Law yang juga ada di India,” katanya.

Menurutnya lagi, di Brunei wujud minat dalam sektor swasta dalam kalangan delegasi perniagaan peringkat tertinggi Dewan Gabungan Industri-industri India (CII) yang akan mengadakan lawatan ke sini dalam bulan Oktober ini.

“Delegasi ini terdiri daripada usahawan farmaseutikal, minyak dan gas, perkhidmatan sokongan lapangan minyak, penjagaan kesihatan, IT dan sektor tenaga alternatif. Saya berharap saya boleh memudahkan hubungan perniagaan bermanfaat antara para pelabur ini dan para usahawan tempatan.”

India Investrade 2016 disertai lebih 20 buah syarikat dari India. Ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam dengan mempamerkan dan menjual produk-produk tekstil, peralatan, IT dan barangan mesin kesemua dihasilkan di India.