Inisiatif tingkat pencapaian pelajar

Inisiatif tingkat pencapaian pelajar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – Sebagai menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang bertitah bahawa negara harus melahirkan tenaga kerja yang berkualiti, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pencapaian para pelajar seawal peringkat Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

Perkara itu amat penting dan harus dijadikan budaya kerana orang progresif merupakan mereka yang kuat membaca, menulis dan mengira dan usaha itu tidak akan membuahkan hasil jika kita gagal melengkapkan anak-anak kita dengan kemahiran asas seperti membaca, menulis dan numerasi.

Sehubungan itu, seruan itu menjadi peneraju penting pembangunan Projek Pengambilan dan Pengurusan Guru Pakar dan Ketua Guru Pakar bagi Bahasa Inggeris dan Matematik 2016-2019 yang menumpukan kepada meningkatkan budaya literasi dan numerasi merentas sistem pendidikan negara.

Di samping itu, projek berkenaan memberikan penekanan kepada impak langsung kepada bilik darjah dan meningkatkan lagi kemahiran guru-guru dalam pengajaran literasi dan numerasi.

Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penandatanganan Kontrak di antara Kementerian Pendidikan, CfBT Education Services Brunei dan Education Development Trust di Bangunan Kementerian Pendidikan, hari ini.

Dr Hajah Romaizah (dua dari kiri) dan Haji Sulaiman (dua dari kanan) menandatangani kontrak sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi (tengah).
Dr Hajah Romaizah (dua dari kiri) dan Haji Sulaiman (dua dari kanan) menandatangani kontrak sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi (tengah).

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan kontrak itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, David Campbell; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman; para pegawai kanan CfBT Brunei dan Kementerian Pendidikan.

Dr. Hajah Romaizah berkata bahawa Kementerian Pendidikan terus memberikan penekanan kepada meningkatkan kualiti pengajaran dan berharap projek itu akan dapat membantu mencapai sasaran berkenaan.

Beliau menerangkan pada peringkat pelaksanaan projek itu, seramai 60 orang jurulatih antarabangsa dalam literasi atau numerasi akan dikerahkan ke sekolah-sekolah rendah dan menengah.

Pada peringkat permulaan projek September ini nanti, seramai lima orang jurulatih antarabangsa iaitu dua orang bagi literasi dan tiga orang bagi numerasi akan dikerahkan untuk membimbing dan melatih guru-guru baru dan sedia ada untuk mengukuhkan lagi kemahiran mengajar untuk meningkatkan standard literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif bagi Education Development Trust dan Pengarah CfBT Brunei, Dr Steve Munby dipetik menyatakan bahawa pihaknya amat menghargai peluang untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam pelaksanaan projek itu untuk memastikan peningkatan dalam metodologi dan amalan yang dilaksanakan di negara ini bagi memastikan matlamat Wawasan 2035 untuk meletakkan sistem pendidikan negara antara 10 teratas di dunia tercapai.

Pada majlis penandatanganan kontrak itu, pihak Kementerian Pendidikan diwakili oleh Dr. Hajah Romaizah dengan saksi, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Profesor Madya Dr Haji Azman bin Haji Ahmad manakala bagi pihak CfBT Education Services Brunei ialah Pengarah CfBT Brunei, Haji Sulaiman bin Haji Ahai dengan saksi, Ketua Pegawai Eksekutif Education Development Trust dan Pengarah CfBT Brunei, Dr. Steve Munby.

Selain meningkatkan kualiti pengajaran literasi dan numerasi secara sistematik, projek itu juga akan menyediakan sokongan pakar bagi pengambilan, induksi, pengerahan dan pengurusan prestasi staf antarabangsa termasuk ketua sumber manusia dan dua orang pakar pembangunan profesional yang mempunyai ilmu pengetahuan dalam amalan pengajaran serta pembelajaran literasi dan numerasi.

Selain 60 orang jurulatih antarabangsa, mereka juga akan bekerjasama dengan lebih 100 jurulatih tempatan dari kalangan guru sedia ada untuk menyediakan rangsangan signifikan kepada kapasiti negara dalam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Inggeris dan Matematik.

Sepanjang projek 36 bulan itu, Kementerian Pendidikan akan mempunyai sokongan pakar-pakar pendidikan antarabangsa Education Development Trust dalam literasi dan numerasi, pembangunan kapasiti, metodologi kejurulatihan dan meningkatkan keupayaan sekolah skala besar.

ARTIKEL YANG SAMA