Inisiatif wujud pengusaha lebih kompetitif

Inisiatif wujud pengusaha lebih kompetitif

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Kira-kira 30 orang pelanggan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dari Kumpulan Perbankan Korporat dan Runcitnya telah dibawa menghadiri bengkel khas bagi pelanggan BIBD sebagai sebahagian daripada Bengkel Keusahawanan Brunei: Belia Berinovasi 2016 anjuran Politeknik Brunei.

Bengkel sehari yang berlangsung di premis Politeknik Brunei di Ong Sum Ping itu bermatlamat untuk membentuk orang Brunei yang inovatif dan kreatif yang akan menyumbang kepada pembangunan negara.

BIBD dalam kenyataannya menyatakan, inisiatif ini adalah selaras dengan Wawasan 2035 untuk menggalakkan dan membantu belia Brunei menjadi lebih berdaya usaha, tidak mudah menyerah kalah, kompetitif dan mampu mengekalkan diri mereka dalam persekitaran yang sentiasa mencabar, yang akhirnya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masa depan negara.

Bengkel berkenaan merangkumi dua sesi mengenai ‘Menjadikan Perniagaan Inovatif’ dan ‘Membangunkan Fokus Perkhidmatan Pelanggan’.

Sesi pertama menekankan keperluan untuk menjadi kreatif, dari segi produk atau proses, dan bagaimana mewujudkan persekitaran untuknya, sebagai alat penting bagi kejayaan apa jua perniagaan yang mapan.

Manakala itu, sesi kedua pula bermatlamat untuk meletakkan pelanggan sebagai tumpuan perniagaan dan bagaimana fokus ini penting bagi kejayaan dan kemapanan perniagaan.

Bengkel berkenaan telah dikendalikan oleh Pengarah Urusan dan pengasas Solomon Ash, Mohammed Arshed Butt. Solomon Ash merupakan sebuah syarikat di United Kingdom yang mengkhususkan dalam pembangunan perniagaan dan komuniti, serta sebuah institut kepimpinan dan pusat pengurusan yang diiktiraf.

Beliau mempunyai lebih 15 tahun pengalaman mengendalikan latihan dalam perusahaan dan keusahawanan, kepimpinan dan pengurusan serta jualan dan pemasaran. Selain itu, beliau juga merupakan jurulatih perniagaan dan pakar latihan yang diiktiraf dengan Program Pencepat Pertumbuhan (kini Perkhidmatan Pertumbuhan Perniagaan) Kerajaan UK.

ARTIKEL YANG SAMA