‘Inovasi bermula di sini’

‘Inovasi bermula di sini’

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Pameran Keusahawanan anjuran Sekolah Perdagangan dan dengan kerjasama Sekolah ICT di Politeknik Brunei merupakan salah satu tugasan penilaian bagi menonjolkan daya keusahawanan pelajar-pelajar serta sebagai titik tolak untuk mereka terus mengamalkan sifat kreatif dan berinovatif selaras dengan slogan institusi itu, ‘Innovation Begins Here (Inovasi bermula di sini).’

Pegawai Pelajaran Politeknik Brunei, Dayang Goh Chai Li, berkata Pelancaran Entrepreneurship Exhibition (ENTx 2016) kali kedua hari ini bukan sahaja bertujuan untuk menilai usaha para pelajar dari sekolah perdagangan dan ICT Politeknik Brunei, malah ia juga diharapkan supaya akan dapat menjadi inspirasi dan iktibar kepada pelajar-pelajar dari institusi-institusi lain agar sentiasa terus bertekad untuk mempertingkatkan kreativiti dan inisiatif masing-masing dalam apa jua bidang akademik atau tugas pada masa hadapan.

“Para pelajar dari institusi lain juga diberi peluang untuk berkongsi-sama pendapat-pendapat mereka bagi menganjak lagi paradigma atau pemikiran sesama pelajar ke arah memajukan kebolehan masing-masing bagi mencipta generasi yang berinovasi,” ujar Dayang Goh Chai Li.

Menurut beliau juga, kategori-kategori yang dipraktikkan bagi para pelajar yang terlibat dalam ENTx 2016 ini, yang pertama ialah Group Pitch, yang telah dilaksanakan sejak dua minggu lalu, di mana para pelajar yang terlibat diberi waktu yang ditetapkan untuk berusaha meyakinkan para juri tentang kebolehgunaan idea-idea mereka.

“Kedua ialah Voting Ballot, di mana para jemputan dari sekolah-sekolah dan yang hadir di acara diberi peluang untuk mengundi idea yang munasabah serta pembangunan yang mapan.

Pemangku Ketua Sekolah Perdagangan, Politeknik Brunei, Awang Mohd Deddy Erwan Shah ketika melawat projek Green House yang menghasilkan herba tempatan.
Pemangku Ketua Sekolah Perdagangan, Politeknik Brunei, Awang Mohd Deddy Erwan Shah ketika melawat projek Green House yang menghasilkan herba tempatan.

Dan ketiga ialah Station Judging, di mana para pelajar yang terlibat akan dinilai dari segi profesionalisme sama ada alat-alat bantu visual dan prototaip, mahupun kebolehan mereka untuk memberi inspirasi kepada para tetamu yang hadir.

Dayang Goh Chai Li juga berkata, kejayaan dan usaha yang telah dikecapi oleh para pelajar hari ini sangatlah membanggakan. Ini merupakan hadiah yang dapat diberikan kepada tenaga pengajar yang sudah bertungkus lumus dalam mendidik dan membentuk insan-insan yang berinovatif.

Beliau berharap dengan majlis ini juga dapat dijadikan sebagai titik tolak ke arah kemajuan bidang kerja yang akan diceburi kelak.

Selesai majlis pelancaran ENTx 2016, Media Permata juga berkesempatan menemu bual para peserta yang mempamerkan projek yang sedang giat dijalankan.

Awangku Muhd Sulaiman Firdaus, dari Jurusan Diploma and Business General Politeknik Brunei, mengetengahkan satu projek yang dikenali sebagai Pocket Molecular Sensor yang boleh mengimbas isi kandungan kesegaran buah dan fakta nutrisi buah.

Projek ini dikenali sebagai Unique, berfungsi dengan memuat naik Unique Apps Sensor dan memasang peranti Unique untuk mengimbas buah-buah yang perlu diimbas.

Kumpulan yang mengetengahkan projek menghasilkan gula tempatan.
Kumpulan yang mengetengahkan projek menghasilkan gula tempatan.

Beliau berharap dengan perancangan projek ini akan dapat memenangi dan memperluaskan lagi Projek Pengimbas Buah ‘Unique’.

Dayang Fazlina binti Haji Mohd Yussof, dari Jurusan Business Studies General, mengetengahkan projek yang dikenali sebagai Autocare yang mana satu peranti yang dapat mengesan masalah-masalah kereta.

“Bukan saja peranti Autocare ini boleh menjaga masalah kereta, bahkan peranti ini tersedia dengan satu aplikasi yang boleh mengesan jenis-jenis kereta, informasi bengkel, dan banyak lagi.”

Manakala Awang Abdurahman Muhd Hasbi, pelajar jurusan Pengurusan Sumber Manusia menampilkan produk atau projek penghasilan gula daripada tebu.

Projek berkenaan ialah untuk mengurangkan import gula dari negara-negara, untuk memastikan keperluan negara dapat dipenuhi.

Tidak ketinggalan pelajar daripada Jurusan Business Studies in Human Resource Management, mempamerkan projek yang bertemakan Green House, yang mana projek ini mengungkayahkan projek penanaman herba tempatan.

Dalam cadangannya, projek tersebut berhasrat memperluaskan usaha penanaman herba tempatan yang dapat memenuhi permintaan orang ramai dan juga permintaan dari luar negara.

Pameran Keusahawanan 2016 ini disertai oleh seramai 380 orang pelajar dari Sekolah Perdagangan dan Sekolah ICT di Politeknik Brunei. Dan majlis penutup serta pengumuman Kumpulan Idea Projek Terbaik akan diadakan pada 11 Mei 2016, bertempat di Politeknik Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA