Inovasi keusahawanan global

Inovasi keusahawanan global

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Pertumbuhan pembangunan usahawan baru yang berinovasi merupakan kunci utama dalam menggalakkan dan menggerakkan pertumbuhan ekonomi di negara ini.

Ini kerana usahawan baru mempunyai potensi untuk menghasilkan peluang pekerjaan, pemindahan pengetahuan dan menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi dengan menggunakan kemajuan teknologi di samping mewujudkan lebih ramai role model sebagai aspirasi kepada generasi akan datang.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim ketika berucap di majlis perasmian Forum Inovasi Perbincangan Teknologi dan Keusahawanan yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini.

Beliau berkata forum itu boleh dijadikan sebagai platform untuk mempromosi inovasi dan keusahawanan daripada perspektif global kerana ia meneroka topik terkini seperti kemunculan trend terkini dalam teknologi, pandangan usahawan baru yang telah berjaya serta peluang dan cabaran dalam mendapatkan pembiayaan pelaburan.

“Saban tahun iCentre telah berjaya mengundang penceramah terkemuka di peringkat serantau dan antarabangsa untuk mengongsi kepakaran dan pengetahuan mereka bersama di kalangan usahawan tempatan bagi memberikan mereka inspirasi sambil mengharungi dunia keusahawanan mereka sendiri,” ujarnya.

Geoffrey Prentice (kanan) bersama Yong Hak Huh ketika membincangkan perihal teknologi masa kini.
Geoffrey Prentice (kanan) bersama Yong Hak Huh ketika membincangkan perihal teknologi masa kini.

Menurut beliau lagi, bagi mencapai matlamatnya, iCentre telah mengundang Rakan Pengurusan Oriente Investment Holdings, Geoffrey Prentice dan Ketua Pegawai Eksekutif First Bridge Strategy Limited, Yong Hak Huh pada sesi pertama forum tersebut bagi membincangkan apa yang dimaksudkan dengan mempunyai ‘mindset global’ berdasarkan kepakaran dan pengalaman kedua-dua mereka di JP Morgan dan Skype.

Beliau seterusnya menerangkan bahawa, pada sesi kedua forum itu nanti kedua-dua penceramah berkenaan akan disertai oleh tetamu ketiga, iaitu Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif QFE, sebuah syarikat kejuruteraan teknologi baru yang berpangkalan di Hong Kong, dan ketiga-tiga mereka akan membincangkan pengalaman mereka mengenai trend teknologi masa kini dan akan datang.

Forum yang membawa tema ‘Memulakan Perniagaan dengan Mindset Global Yang Betul’ itu telah dihadiri oleh lebih 60 orang peserta yang mewakili syarikat teknologi tempatan dan usahawan-usahawan baru, pelajar institusi pengajian tinggi dan pihak yang berkepentingan dalam industri inovasi dan teknologi tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA