Inovasi perniagaan perlu dilaksana mengikut cabaran

Inovasi perniagaan perlu dilaksana mengikut cabaran

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Inovasi perniagaan, sama ada suka atau tidak, perlu dilaksanakan mengikut cabaran teknologi, globalisasi serta urbanisasi, kesan daripada perkembangan ekonomi, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau memberi contoh inovasi perniagaan seperti Uber, Skype, Spotify dan Ali Baba yang semakin berkembang di peringkat global.

“Ini secara tidak langsung menjadikan teknologi digital melalui peranti mudah alih, jaringan sosial dan pengkomputeran awan serta teknologi lain, mengubah hubungan antara perniagaan dan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat agung tahunan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), kelmarin.

Seiring dengan itu, Johari berkata kerajaan mengumumkan 2017 sebagai Tahun Ekonomi Internet untuk Malaysia.

“Ini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan bumiputera untuk menjadikan penggunaan Internet sebagai peluang pasaran baharu, yang lebih menguntungkan dan menjimatkan, untuk diteroka,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA