Insentif bantu pertingkatkan hasil industri pertanian Korea Utara

Insentif bantu pertingkatkan hasil industri pertanian Korea Utara

PYONGYANG – Hasil tuaian industri pertanian Korea Utara dijangka bakal meningkat berbanding tahun lalu walaupun banjir teruk baru sahaja melanda di kawasan timur negara tersebut.

Bagaimanapun keadaan cuaca yang kelihatan semakin mengizinkan dan perubahan dasar rasmi yang diperkenalkan turut menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan hasil tuaian yang secara tidak langsung memberi keuntungan kepada para petani.

Menurut laporan daripada Program Makanan Dunia (WFP), walaupun data informasi rasmi masih belum dikeluarkan namun hasil tuaian pertanian pada tahun 2016 jauh meningkat lebih baik berbanding tahun lalu.

WFP yang turut memiliki cawangan pejabat di Pyongyang menjelaskan bahawa keadaan cuaca yang bertambah baik merupakan faktor utama kepada peningkatkan hasil tuaian pertanian di Korea Utara.

Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga juga harus dilaksanakan terutama dalam menangani bencana alam seperti banjir teruk berikutan daripada fenomena Taufan Lionrock yang menyerang kawasan timur negara tersebut pada penghujung bulan Ogos dan awal September lalu.

Kim Jong Un telah memperkenalkan dasar insentif baru dalam industri pertanian bagi memberikan inspirasi dan galakan kepada para petani untuk bekerja dan mendapat lebih banyak hasil tuaian. – AP
Kim Jong Un telah memperkenalkan dasar insentif baru dalam industri pertanian bagi memberikan inspirasi dan galakan kepada para petani untuk bekerja dan mendapat lebih banyak hasil tuaian. – AP

Korea Utara telah mencapai kemajuan yang ketara dalam bidang pertanian sejak negara itu mula memperkenalkan polisi sendiri pada tahun 1990an di samping berjaya untuk mengurangkan risiko yang diterima berikutan daripada pelbagai bencana alam seperti banjir dan kemarau.

Di samping itu, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga sering memberikan bantuan jangka panjang dengan memperkenalkan pelbagai program peningkatan taraf kehidupan termasuk bimbingan terhadap proses pertanian moden.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un telah mula memperkenalkan dasar insentif baru dalam industri pertanian yang bermula April 2012 yang dilaksanakan bagi meningkatkan hasil tuaian di kalangan para petani.

Melalui dasar itu, para petani dibenarkan untuk mengambil lebih banyak hak keuntungan mereka sekiranya berjaya mengeluarkan hasil tuaian yang memberangsangkan di samping insentif yang dikenali sebagai sistem tanggungjawab perladangan itu diperkenalkan adalah bertujuan bagi meningkatkan sumber ekonomi negara.

Para petani gigih bekerjasama dalam satu pasukan dalam pengurusan ladang bagi mendapatkan insentif keuntungan yang telah dijanjikan. – AP
Para petani gigih bekerjasama dalam satu pasukan dalam pengurusan ladang bagi mendapatkan insentif keuntungan yang telah dijanjikan. – AP
Kaeadah moden turut diperkenalkan dalam industri pertanian yang dilaksanakan para petani di Korea Utara.
Kaeadah moden turut diperkenalkan dalam industri pertanian yang dilaksanakan para petani di Korea Utara.

Pada hakikatnya, ia merupakan satu usaha kerajaan Korea utara yang cukup baik dalam memperkenalkan insentif baru bagi meningkatkan jumlah pengeluaran yang dapat mengekalkan pengurusan negara secara keseluruhan.

Dasar tersebut diperkukuhkan lagi setelah Kim mengarang sepucuk surat yang ditujukan kepada para petani pada tahun 2014 bagi mempromosikan idea mengenai insentif tersebut.

Ri Won Jae, Ketua Jurutera di Ladang Koperasi Samjigang menjelaskan bahawa insentif yang telah dikuatkuasakan itu secara tidak langsung memberikan inspirasi dan galakan kepada para petani untuk bekerja bagi menghasilkan lebih banyak hasil tuaian.

“Saya rasa kejayaan sebenar dalam peningkatan hasil tuaian pada tahun ini adalah berikutan daripada insentif yang telah diperkenalkan itu di mana ia secara tidak langsung meningkatkan kesedaran di kalangan para petani terhadap tanggungjawab, hak dan keuntungan yang bakal mereka perolehi sekiranya berusaha dengan lebih gigih dalam bidang pertanian,” jelas Ri kepada AP.

Walaupun banjir dan kemarau sering memberikan risiko terhadap pertanian yang dilaksanakan namun ia tidak sedikit pun membuatkan para petani goyah daripada terus berusaha. – AP
Walaupun banjir dan kemarau sering memberikan risiko terhadap pertanian yang dilaksanakan namun ia tidak sedikit pun membuatkan para petani goyah daripada terus berusaha. – AP
Para petani gigih mengusahakan tanaman bagi mendapatkan hasil tuaian yang cukup memberangsangkan. – AP
Para petani gigih mengusahakan tanaman bagi mendapatkan hasil tuaian yang cukup memberangsangkan. – AP
Antara hasil tuaian yang menjadi kebangaan para petani di Korea Utara. – AP
Antara hasil tuaian yang menjadi kebangaan para petani di Korea Utara. – AP

O Jong Hyok, Ketua Pasukan Koperasi di Wilayah Selatan Hwanghae menjelaskan bahawa polisi baru itu jelas meningkatkan persaingan di kalangan petani dalam berlumba-lumba untuk mendapatkan jumlah pengeluaran yang banyak dan menguntungkan.

Dalam sesebuah ladang biasanya diuruskan oleh satu pasukan yang mengandungi seramai lima ke 10 orang petani bekerjasama dalam mengusahakan ladang tersebut bagi sama-sama mendapat hasil tuaian yang cukup memberangsangkan.

Ada pula di kalangan pasukan yang sanggup untuk mengupah lebih ramai pekerja bagi memastikan ladang yang diusahakan itu akan memberikan keuntungan pada kadar yang maksima.

“Ini merupakan sebuah ladang yang diusahakan dengan kerjasama oleh pasukan saya,” jelas O di dalam satu temubual bersama AP.

“Persaingan cukup ketara di antara para petani terutama dalam pengusahaan sawah padi sejak insentif itu diperkenalkan memandangkan mereka telah menyedari akan kelebihan dan keuntungan yang akan diperoleh sekiranya mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh,” tambah O. – AP