Insentif lebih baik untuk pemenang Anugerah Pelancongan Kenyalang

Insentif lebih baik untuk pemenang Anugerah Pelancongan Kenyalang

KUCHING, 28 Julai – Insentif yang lebih baik termasuk hadiah wang tunai lumayan ditawarkan untuk para pemenang Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak 2015.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak Datuk Ik Pahon Joyik berkata, anugerah tahun ini akan menyaksikan penambahbaikan dan perubahan selain peningkatan insentif yang diberikan kepada para pemenang pelbagai kategori anugerah.

Semasa mengumumkannya kepada media hari ini, Pahon meminta para penggiat industri itu menghantar pencalonan untuk anugerah-anugerah itu.

Anugerah tersebut anjuran bersama Kementerian Pelancongan Sarawak dan Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) dengan objektif menghargai sumbangan individu dan organisasi terhadap pembangunan sektor pelancongan Sarawak.

“Ia juga mewujudkan budaya kecemerlangan, kreativiti, perkhidmatan berkualiti dan amalan terbaik,” kata Pahon.

Beliau berkata pencalonan untuk anugerah dibuka mulai 1 Mei hingga 14 Ogos tahun ini tetapi setakat ini penganjur hanya menerima lima pencalonan dalam tiga kategori.