Insiden di Stadium Shah Alam, polis buru 14 individu

Insiden di Stadium Shah Alam, polis buru 14 individu

SHAH ALAM, 10 Sept – Polis memburu 14 lagi penyokong termasuk empat perancang utama dipercayai terlibat dalam kekecohan sewaktu perlawanan pusingan kelayakan bola sepak Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata dua perancang utama yang diburu dikenali sebagai ‘Lekir’ atau nama sebenarnya Mohd Ridzuan Ahmad, 36, yang beralamat di Seremban, Negeri Sembilan dan ‘Rambo’ atau Alfadli Awaludin, 33, yang beralamat di Seksyen 18, Shah Alam.

Dua lagi perancang utama yang turut dicari dikenali sebagai ‘Tok Anjang’ dan ‘Shap’ yang merupakan pemimpin kumpulan penyokong Ultras Selangor.

“Kesemua 14 orang ini diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini untuk diambil keterangan. Polis menerima maklumat keempat-empat individu terbabit ialah perancang utama insiden itu,” katanya selepas mengedarkan 12 gambar suspek kepada media di IPD Shah Alam, di sini petang ini.

Tindakan penyokong membaling suar dan bom asap ke padang mengakibatkan perlawanan dihentikan pada minit ke-88 ketika pelawat sedang mendahului 2-1.

Semalam, 11 penyokong termasuk lima penuntut universiti awam dan swasta di tahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA