Insiden haji, Iran tuntut Saudi minta maaf

Insiden haji, Iran tuntut Saudi minta maaf

TEHRAN, 27 Sept (AFP) – Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menuntut Arab Saudi memohon maaf hari ini di atas kejadian rempuhan yang mengorbankan hampir 770 orang jemaah haji, sekurang-kurangnya 144 orang adalah warga Iran.

“Daripada menolak tanggung jawab dan menyalahkan, Arab Saudi seharusnya menerima tanggung jawab dan memohon maaf kepada umat Islam di dunia dan keluarga-keluarga yang kehilangan anggota keluarga mereka,” Khamenei berkata dalam ulasan yang dilaporkan oleh agensi berita rasmi IRNA.

Para pemimpin Iraq dengan kasar mengkritik cara pihak berkuasa Saudi menangani keselamatan pada musim haji dan mempersoalkan sama ada Riyadh layak untuk terus mengaturkan jemaah haji tahunan.

Ulasan Khamenei dibuat beberapa jam selepas Menteri Luar Saudi Adel al-Jubeir membidas kritikan saingan serantaunya itu, dengan mengatakan ia ‘seharusnya tidak mempolitikkan tragedi itu’.

Menteri Kebudayaan Ali Janati akan mengetuai delegasi ke Arab Saudi untuk menyusul sehingga 323 warga Iran yang menurut Tehran telah hilang, tetapi IRNA mengatakan pasukannya masih belum menerima sebarang visa.

Semalam, Tehran memanggil kuasa usaha Arab Saudi buat kali ketiga sejak kejadian rempuhan itu, untuk menggesa negara beraja itu kerjasama lebih besar.

Presiden Hassan Rouhani memohon bagi pengantaraan PBB dengan pihak Saudi dalam rundingan dengan ketua PBB Ban Ki-moon di New York, lapor berita televisyen.

Ia memetik Rouhani sebagai berkata “Malangnya Riyadh tidak memberikan kerjasama mencukupi berhubung jemaah yang dilaporkan hilang dan pemindahan jemaah yang terbunuh dan tercedera.”

“Adalah penting PBB mengingatkan Riyadh tentang obligasi sah dan kemanusiaannya.

ARTIKEL YANG SAMA