Insiden isi minyak disambar api jadikan iktibar

Insiden isi minyak disambar api jadikan iktibar

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) – Banyak pengguna kereta, lori, bas dan motosikal sengaja mengundang musibah apabila tidak mematuhi larangan menggunakan telefon bimbit atau alat telekomunikasi lain ketika mengisi minyak di stesen minyak.

Stesen minyak menetapkan tiga peraturan utama untuk pemilik kenderaan ketika berada di pam minyak iaitu dilarang merokok, mematikan enjin kenderaan dan tidak menggunakan telefon bimbit di pam minyak.

Malah sikap acuh tidak acuh atau tahap kesedaran keselamatan yang rendah dalam kalangan pengguna di stesen minyak yang sentiasa terdedah kepada risiko kebakaran, bukan sahaja membahayakan nyawa mereka malah pengguna lain.

Menggunakan telefon bimbit sama ada untuk membuat atau menerima panggilan ketika mengisi di pam minyak boleh menyebabkan telefon bimbit meletup dan terbakar akibat wap gas yang dikeluarkan oleh petrol yang dipam ke dalam tangki kenderaan terkena elektrik statik yang dihasilkan bateri telefon itu.

Ketua Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani, berkata insiden seorang wanita melecur di bahagian badannya apabila telefon bimbit yang sedang digunakannya disambar api ketika mengisi minyak di sini, semalam, perlu menjadi iktibar.

Katanya pihaknya mendapati pelanggan sering leka dan alpa untuk mematuhi peraturan semasa berada di stesen minyak yang dipanggil 3L iaitu lalai, lupa dan leka.

“Masih ramai yang mengambil mudah peraturan yang perlu dipatuhi semasa berada di stesen minyak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini ketika mengulas insiden yang menimpa gadis berusia 24 tahun itu di sebuah stesen minyak di Setapak Indah di sini.

Dalam kejadian 1:25 tengah hari itu, mangsa T. Sarishna dari Taman Samudera, Batu Caves di sini, melecur 60 peratus di bahagian badan akibat disambar api berikutan tindakannya mengisi minyak dan cuba menjawab telefon bimbitnya.

Mangsa dipercayai membuka pintu belakang sebelah kiri keretanya untuk mengambil telefon bimbit yang sedang berdering, sambil tangannya memegang muncung minyak petrol.

Menyentuh mengenai sama ada telefon bimbit yang digunakan mangsa jenis klon, Samsol berkata kejadian itu tidak mengira sama ada telefon bimbit itu tulen atau tiruan.

“Tidak kisah telefon itu tulen atau klon tetap menghasilkan radiasi yang sama, dan jumlah radiasi yang dihasilkan tidak ada perbezaan sama ada menjawab panggilan, membalas WhatsApp atau menghantar mesej.

“Sekiranya perlu menjawab panggilan, pengguna boleh masuk ke dalam kedai di stesen minyak, atau mencari kawasan yang tertutup. Sebaiknya tunggu sehingga berada di luar kawasan tersebut,” katanya.

Katanya ia adalah kes pertama yang melibatkan kebakaran berpunca daripada telefon bimbit dan menasihatkan pemilik kenderaan supaya sentiasa menyimpan alat pemadam api berkapasiti satu atau tiga kilogram dalam kenderaan mereka.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Telekomunikasi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr Kamaludin Mohamad Yusof berkata insiden itu mungkin berpunca daripada gelombang ‘Electro Magnetic Field (EMF)’ yang dihasilkan melalui hubungan dibuat melalui ‘signal’ telefon bimbit mangsa dan sistem pemancar atau pencawang telekomunikasi.

“EMF ini akan mencetuskan kebakaran kerana ia agak sensitif dengan minyak ketika mangsa menggunakan telefon bimbitnya semasa mengisi minyak,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA