Insiden kren tumbang, Binladin dihukum

Insiden kren tumbang, Binladin dihukum

RIYADH, 21 Sept (AFP) – Keputusan Arab Saudi untuk menghukum Binladin Group berhubung kren tumbang di Mekah yang mengorbankan nyawa itu amat mengejutkan dan boleh mendapat akibat serius bagi salah sebuah firma paling berkuasa dalam kerajaan itu.

Selepas berdekad-dekad berkembang maju dengan menerima kontrak kerajaan yang mewah, Binladin Group Saudi berdepan penelitian tidak dijangkakan berhubung insiden tersebut, yang menyaksikan salah sebuah krennya tumbang semasa pelebaran besar Masjid Utama di Mekah, tapak suci Islam.

Insiden 11 September itu telah membunuh kira-kira 108 orang dan mencederakan kira-kira 400, termasuk warga asing yang tiba menjelang haji tahunan yang bermula pada Selasa.

Penganalisis mengatakan ia benar-benar memberi masalah kepada Raja Saudi, Raja Salman, penjaga rasmi tapak suci Islam itu sehingga mencetuskan tindakan segera mengejut ke atas kumpulan berkenaan, yang diasaskan lebih 80 tahun lalu oleh ayah pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden dan kini dipengerusikan oleh abang Osama, Bakr.

Seorang diplomat Barat dalam kerajaan itu mengatakan pihak berkuasa berasa ‘amat malu’ dengan nahas itu dan menyatakan rasa terkejut yang syarikat itu telah dihukum hanya beberapa hari kemudian.

Siasatan awal mendapati kumpulan itu separuhnya bertanggungjawab atas kemalangan tersebut disebabkan kren itu diletakkan pada kedudukan yang salah apabila ribut kuat melanda.

Salman mengarahkan pendakwa untuk menyediakan indikmen namun juga mengambil langkah serta-merta – menangguhkan syarikat itu daripada mengambil kontrak awam baru dan menegah para pegawai eksekutifnya daripada meninggalkan negara itu, selagi proses penghakiman masih belum selesai.

Binladin Group sebuah syarikat swasta amat besar penglibatannya dalam ekonomi Saudi, walaupun tidak diketahui secara tepat berapa banyak sumbangannya.

Dari asalnya yang kurang terkenal dengan menurap jalan menerusi pergunungan dan padang pasir kerajaan itu, Binladin Group kini telah menjadi salah sebuah firma pembangunan terbesar di dunia.

“Mereka sudah lama terpahat dalam ekonomi, sangat berpengaruh,” kata kontraktor lain dengan pengalaman paling lama dalam pasaran tempatan.

Dari universiti hingga ke lapangan terbang dan hospital-hospital, firma berpangkalan di Jeddah itu telah memenangi pelbagai projek kerajaan di seluruh negara itu.

Ia pernah membangunkan mercu tanda termasuk Menara Faisaliah di tengah Riyadh dan Menara Jam Diraja Mekah, bangunan ketiga tertinggi di dunia.

Firma itu juga kontraktor utama bagi Menara Kingdom Jeddah bernilai $1.2 bilion, yang akan menjadi bangunan tertinggi dunia pada ukuran lebih satu kilometer tinggi (hampir 3,300kaki).

ARTIKEL YANG SAMA