Insiden kren tumbang tiada unsur jenayah

Insiden kren tumbang tiada unsur jenayah

JEDDAH, 18 Ogos – Biro Penyiasatan dan Pendakwaan Awam (BIP) menolak sebarang motif jenayah di sebalik insiden kren tumbang di Masjidil Haram, September lalu.

Menurut sumber mahkamah, yang membicarakan 14 suspek dalam kes itu, BIP juga menolak alasan angin kencang dan petir sebagai punca utama kren seberat 1,300 tan itu tumbang.

Biro itu, bagaimanapun percaya kren berkenaan ditempatkan pada kedudukan yang salah ketika ia dipukul angin kencang melebihi 80 kilometer sejam.

“Kedudukan kren itu bercanggah dengan arahan yang terkandung dalam manual operasi syarikat pembinaan itu,” kata BIP.

Beratus-ratus jemaah terbunuh dan cedera dalam tragedi itu. Menurut BIP, kesilapan dikesan pada kedudukan lengan kanan kren yang berada pada sudut 85 darjah.

Memetik manual operasi, biro menjelaskan, lengan kanan itu sepatutnya ditarik ke bawah setiap kali ia tidak digunakan dan juga ketika cuaca buruk.

Laporan akhbar menyebut, enam daripada 14 yang dibicarakan adalah rakyat Saudi, termasuk seorang jutawan, manakala selebihnya adalah dua warga Pakistan, serta masing-masing seorang warga Kanada, Jordan, Palestin, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Filipina. – Agensi