Insiden MH17 perlu diadili di mahkamah Malaysia

Insiden MH17 perlu diadili di mahkamah Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) – Kes pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine tahun lepas, perlu dibawa dan diadili di mahkamah Malaysia.

Cadangan itu disuarakan Felo Kanan, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Sufian Jusoh dalam temu bual dengan Bernama. “Perkara ini tidak mustahil kerana Malaysia berhak membawa suara rakyatnya yang terkorban dalam tragedi itu serta anggota keluarga mereka supaya ia disiasat secara telus di negara ini,” katanya.

Menurutnya, faktor bahawa pesawat Boeing 777 itu ialah milik syarikat penerbangan negara ini mengukuhkan lagi pentingnya insiden yang mengorbankan 298 orang termasuk 43 warga Malaysia itu disiasat di Malaysia.

Lembaga Keselamatan Belanda dalam laporan akhirnya Selasa lepas mengenai nahas 17 Julai 2014 itu, mengesahkan bahawa MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara BUK di ruang udara timur Ukraine.

Laporan itu dikeluarkan selepas 15 bulan siasatan dijalankan lembaga berkenaan yang turut melibatkan tujuh negara iaitu Australia, Belanda, Malaysia, Ukraine, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Rusia.

Sufian berkata laporan itu hanya menyatakan bahawa senjata BUK telah digunakan, namun siapa yang membuat senjata itu tidak semestinya pihak yang menembak pesawat berkenaan yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. “Sebab itu kita nak tahu siapa penjenayah sebenar yang menggunakan senjata itu untuk menembak MH17,” katanya mengenai pesawat itu yang ketika kejadian terbang pada ketinggian 33,000 kaki.

Sufian turut menjadikan contoh pendakwaan yang dilakukan di Malaysia terhadap tujuh lanun Somalia yang melepaskan tembakan ke arah pasukan Angkatan Tentera Malaysia ketika merompak kapal dagang MT Bunga Laurel di Teluk Aden, untuk menguatkan hujahnya bagaimana insiden MH17 boleh diadili di Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA