Insiden perkauman berterusan di universiti AS

Insiden perkauman berterusan di universiti AS

PHILADELPHIA, 13 Nov – Seorang pelajar Universiti Oklahoma digantung sementara dan polis menyiasat ancaman terhadap seorang pelajar Islam berhampiran Universiti Michigan di tengah gangguan berunsurkan perkauman di sekolah dan universiti seluruh Amerika Syarikat berikutan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden negara itu.

The Associated Press dan media lain mengenal pasti beberapa laporan insiden perkauman di sekolah sejak Selasa lalu, termasuk kumpulan sembang yang disertai pelajar Universiti Oklahoma dengan menyasarkan pelajar kulit hitam baharu di Universiti Pennsylvania (UPenn) yang pernah dihadiri Trump.

Perbualan mengandungi “imej dan mesej ganas, rasis dan menjijikkan” dan universiti berkenaan “terkejut” apabila pelajarnya dimasukkan ke akaun GroupMe, kata Presiden universiti itu, Amy Gutmann. Gutmann berkata, polis UPenn bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam hal itu. Terdahulu, beliau berkata pegawai meningkatkan kawalan keselamatan kampus dan berusaha untuk memberi bantuan kepada pelajar yang terjejas.

Sementara itu, Presiden Universiti Oklahoma, David Boren, dalam kenyataan berkata seorang pelajarnya digantung sementara bagi memberi jalan kepada siasatan

“Keadaan ini tidak berasal dari Universiti Oklahoma tetapi bermula di tempat lain,” kata Boren dalam kenyataan.

Di Ann Arbor, Michigan, polis meneliti laporan seorang lelaki yang mengancam membakar seorang pelajar Islam jika tidak menanggalkan tudungnya. Kejadian berlaku berhampiran kampus Universiti Michigan, menurut polis Ann Arbor, Sarjan Patrick Maguire.

Beliau berkata jabatan itu “sedang menyiasat secara aktif…dan meminta maklumat daripada sesiapa sahaja yang mungkin telah menyaksikan apa-apa pada hari kejadian itu.” – AP