‘Inspirasi Belia’ dedah penglibatan belia dalam bidang seni

‘Inspirasi Belia’ dedah penglibatan belia dalam bidang seni

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Radio Televisyen Brunei (RTB) dengan kerjasama krew penerbitan K-Mas Media Production telah mengunjungi Brunei Press Sdn Bhd bagi sesi temu bual dan penggambaran dengan salah seorang wartawan Media Permata, Imelda Groves HA, yang dipilih sebagai salah seorang contoh bagi menginspirasikan belia-belia di negara ini.

Rancangan tersebut, yang diberi nama ‘Inspirasi Belia’, merupakan sebuah dokumentari bertujuan untuk menginspirasikan belia-belia atas kejayaan artis-artis Negara Brunei Darussalam.

Dayang Siti Seri Laila Imelda Farrah Zohre bin Haji Abdullah yang juga dikenali sebagai Imelda Groves HA merupakan seorang wartawan yang juga aktif dalam bidang lakonan. Beliau yang berusia 31 tahun telah bergiat aktif dalam bidang seni sejak zaman sekolah lagi, namun beliau mula bergiat dalam dunia penyiaran sejak tahun 2002.

Pada masa lapang, beliau juga selalu membantu suami menjalankan dan menguruskan syarikat penerbitan, Visual Dimensions Production.

Ketika sesi penggambaran dijalankan di Bahagian Editorial Media Permata.
Ketika sesi penggambaran dijalankan di Bahagian Editorial Media Permata.
Al-Fayyadh Metusin (kanan) selaku penerbit bersama krew-krew penerbitan K-Mas Media Production ketika sesi penggambaran rancangan ‘Inspirasi Belia’.
Al-Fayyadh Metusin (kanan) selaku penerbit bersama krew-krew penerbitan K-Mas Media Production ketika sesi penggambaran rancangan ‘Inspirasi Belia’.
Imelda Groves HA ketika ditemu bual pada penggambaran tersebut.
Imelda Groves HA ketika ditemu bual pada penggambaran tersebut.

Beliau pernah mengikuti uji bakat terbuka kerana ingin mencuba nasib. Ternyata beliau telah dipanggil untuk berlakon sebagai pelakon tambahan. Selepas itu, beliau dibawa berlakon bagi drama bersiri yang ditayangkan di RTB. Dari sanalah mulanya beliau aktif dalam bidang lakonan.

Penerbit Rancangan ‘Inspirasi Belia’, Al-Fayyadh Metusin ketika ditemui berkata, dokumentari ini merupakan sebuah rancangan infotainment yang mengupas tentang penglibatan belia kitani di Brunei Darussalam yang menceburi bidang seni termasuklah bidang nyanyian, lakonan, Juruhebah radio, teater dan juga tarian.

“Kami juga menyelitkan aktiviti-aktiviti harian mereka seperti perusahaan ataupun pekerjaan di samping melibatkan diri dalam bidan seni. Ini adalah sebagai inspirasi kepada generasi-generasi dan belia-belia pada masa ini.”

Rancangan ini dibahagikan kepada 15 episod dan setiap episod selama 45 minit akan menceritakan mengenai dua artis tempatan. Ia akan mula ditayangkan pada hujung bulan Februari 2016, selama tiga bulan setiap hari Sabtu, di RTB 2.