Inspirasi menerusi program pertukaran belia

Inspirasi menerusi program pertukaran belia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov– Seramai lapan orang belia berlepas ke Seoul, Korea untuk mewakili negara dalam Program The 18th ASEAN-Korea Future-Oriented Youth Exchange Programme: ASEAN-Korea Youth Square, yang akan berlangsung selama enam hari bermula 25 hingga 30 November.

Rombongan tersebut diketuai oleh graduan Universiti Brunei Darussalam, Awang Muhammad Thaqib bin Mohd Tuah dan disertai oleh ahli persatuan-persatuan belia, penuntut-penuntut sekolah, mahasiswa universiti, jurugambar, juruvideo dan pengusaha-pengusaha syarikat produksi.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar dan memberikan kata-kata nasihat kepada ahli rombongan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

Haji Noor Jusmin bergambar ramai bersama belia-belia yang akan menyertai Program Pertukaran Belia ASEAN-Korea. – Gambar oleh Jabatan Belia dan Sukan
Haji Noor Jusmin bergambar ramai bersama belia-belia yang akan menyertai Program Pertukaran Belia ASEAN-Korea. – Gambar oleh Jabatan Belia dan Sukan

Semasa program tersebut, mereka akan membuat penjelajahan di sekitar Seoul, Korea untuk membuat penggambaran mengenai perkara yang menarik minat mereka serta yang menunjukkan keunikan Seoul termasuk menunjukkan kegiatan pertukaran yang berkisar kepada konsep, ASEAN-Korea Youth Designing and Shooting Film Together in Seoul.

Para peserta belia berkenaan juga akan diperkenalkan kepada Sekretariat ASEAN dan melawat ke Youth Flea Market serta mengambil bahagian dalam ASEAN-Korea Booth Festival.

Selain menggalakkan pertukaran budaya, program tersebut turut memberikan pendedahan kepada mereka mengenai pelbagai kegiatan yang boleh memberi inspirasi kepada satu sama yang lain serta menjalinkan semangat perpaduan Asia untuk masa depan yang lebih baik.

ARTIKEL YANG SAMA