Instagram Balotelli timbulkan tanda tanya

Instagram Balotelli timbulkan tanda tanya

MILAN, 13 Dis (AFP) – Penyerang Itali, Mario Balotelli menyebabkan penyokong dan pengkritik tertanya-tanya mengenai kemungkinan kepulangannya ke skuad Azzurri apabila memuat naik mesej yang kurang jelas di media sosial, semalam.

“Tak sabar,” tulis Balotelli di akaun Instagram yang turut diselitkan senarai Kumpulan B yang disertai Itali bersama Belgium, Sweden dan Republik Ireland untuk saingan Euro 2016.

Tulisannya itu mendorong reaksi berbeza daripada pembaca akaunnya, dengan ada antaranya menyifatkan penyerang AC Milan yang dipinjamkan dari Liverpool itu, mungkin hanya menonton perlawanan menerusi televisyen.

Balotelli muncul wira Azzurri ketika Euro 2012 dengan meledak beberapa gol sebelum bekas penyerang Manchester City itu menjamin kemenangan 2-1 ke atas Jerman yang seterusnya membawa Itali ke final, pentas yang menyaksikan mereka tewas 0-4 kepada Sepanyol.