Institusi agama jadi pembimbing kepada manusia

Institusi agama jadi pembimbing kepada manusia

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Institusi agama dan pendidikan dianggap sebagai institusi terpenting kepada masyarakat kerana berperanan dalam meleraikan permasalahan ilmu-ilmu syarak dan mengeluarkan fatwa terhadap perkara atau masalah baru.

Selain itu, institusi keagamaan dan pendidikan juga berkongsi sama dalam menyebarkan kesedaran beragama dan mengajar manusia tentang urusan-urusan agama mereka, memberikan petunjuk kepada manusia dan memberikan peringatan untuk menjauhi akhlak yang buruk dan menukarkannya kepada akhlak yang baik dan terpuji.

Ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk Peranan Institusi-institusi Agama dan Pendidikan Dalam Penyebaran Prinsip Wasatiah pada Seminar Majlis Ilmu 2015 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini, Timbalan Pengarah Pusat Pengajian Lepas Ijazah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr. Naamane Djeghim berkata, umat Islam apabila bersifat adil pada semua perbuatannya maka jadilah sifat adil itu satu sifat yang melazimi mereka dan yang berhak menjadikan mereka sebagai saksi terhadap perbuatan manusia di dunia dan akhirat.

Dalam hubungan itu, katanya, prinsip wasatiah dianggap sebagai satu manhaj (metodologi) dan jalan kepada pemikiran dan akhlak yang lahir daripada keperibadian Islam yang seimbang dan berpegang teguh kepada ajaran Islam yang suci.

Prinsip itu memelihara hak (kewajipan), bertanggungjawab dan iltizam tanpa melampau-lampau atau bermusuh-musuhan serta tidak mengutamakan dunia daripada akhirat, atau mengutamakan akhirat daripada dunia, bahkan hendaklah mempunyai keseimbangan dan kesederhanaan sebagai satu simbol yang unik terhadap keperibadian seorang Islam.

Profesor Datuk Dr Osman Bakar (kiri) ketika menyampaikan kertas kerjanya mengenai Konsep Wasatiah dan Prinsip-prinsipnya Dalam Islam.
Profesor Datuk Dr Osman Bakar (kiri) ketika menyampaikan kertas kerjanya mengenai Konsep Wasatiah dan Prinsip-prinsipnya Dalam Islam.

Dalam kertas kerjanya itu, beliau juga membincangkan beberapa kategori ciri-ciri khusus yang boleh membantu dan menguatkan kefahaman tentang wasatiah dalam kalangan manusia.

Antara ciri-ciri itu adalah membataskan pengertian atau takrif wasatiah melalui beberapa perkara, iaitu kaedah-kaedah penyelidikan dan heuristik, permasalahan fiqah amali atau fiqah ibadat, permasalahan akidah dan permasalahan tingkah laku atau perangai.

Menurutnya lagi, batasan itu perlu dihiasi dengan mengambil nas-nas syarak yang benar-benar diperlukan dan bukannya pengambilan untuk diatasi, selain berkeupayaan untuk membebaskan diri daripada kuasa idea-idea atau pemikiran prejudis hukum-hukum yang terdahulu.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Islam Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam, Profesor Datuk Dr. Osman Bakar ketika membincangkan kertas kerja bertajuk Konsep Wasatiah dan Prinsip-prinsipnya Dalam Islam memetik Surah Al-Baqarah, ayat 143 yang tafsirnya: “Demikian juga Kami jadikan kamu umat pertengahan (Ummatan Wasatan) supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia dan Rasulullah S.A.W pula akan menjadi saksi terhadap kamu.”

Profesor Datuk Dr Osman berkata, makna wasat daripada segi bahasa adalah kedudukan tempat yang terletak di tengah-tengah yang boleh ditujukan kepada objek yang bukan fizikal.

Wasat juga merupakan keseimbangan dan keharmonian (taswiyyah), yang membawa makna yang terbaik sama ada dirujuk kepada manusia atau pun kepada benda-benda lain secara umumnya, dengan meletakkan sesuatu kepada tempatnya, iaitu adil.

Sehubungan itu, katanya lagi, umat wasatiah ialah umat pertengahan, umat seimbang, umat terbaik dan umat yang adil.

Menurutnya, keistimewaan wasatiah adalah disebabkan oleh konsep wasatiah bersumberkan ajaran rabani dan bukannya ajaran manusiawi, maka impaknya adalah ajaran wasatiah itu cukup penting kepada seluruh umat manusia dan bukan hanya terbatas kepada umat Islam.

Selain itu, konsep wasatiah juga menekankan konsep umat terbaik dan isu jati diri Rasulullah S.A.W yang mempunyai ciri wasatun dan menjadi teras jati diri umat Islam sepertimana yang terkandung dalam firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143.

ARTIKEL YANG SAMA