Institusi keluarga elemen terpenting untuk negara bangsa

Institusi keluarga elemen terpenting untuk negara bangsa

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2016, Majlis Perhimpunan Keluarga Mawaddah telah diadakan, hari ini, yang dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi pagi di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dan sesi petang di Pusat Insani, Seria.

Di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan turut dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Manakala itu, hadir selaku tetamu kehormat pada sesi di Pusat Insani, Seria, ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar. Turut hadir ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman.

Perhimpunan yang disertakan dengan Forum Motivasi Institusi Keluarga berkenaan diadakan untuk memberikan kesempatan kepada orang ramai untuk saling bertukar-tukar pandangan dan berkongsi maklumat untuk membina institusi keluarga yang bahagia, harmoni, kukuh dan berdaya tahan yang dapat menyumbang kepada perpaduan masyarakat di negara ini.

Forum berkenaan mengetengahkan dua orang ahli panel undangan iaitu Dekan Hal Ehwal Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar dan Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar di Jabatan Sekolah-Sekolah, Haji Ali Yusri bin Haji Ghafor.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi serta tetamu yang lain semasa menghadiri Majlis Perhimpunan Keluarga Mawaddah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi serta tetamu yang lain semasa menghadiri Majlis Perhimpunan Keluarga Mawaddah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas kelmarin.
Barisan ahli panel Forum Motivasi Institusi Keluarga.
Barisan ahli panel Forum Motivasi Institusi Keluarga.

Dr Haji Noralizam antara lain menekankan bahawa institusi keluarga merupakan salah satu elemen terpenting dalam mewujudkan sebuah negara bangsa dan masyarakat yang berwawasan.

Beliau juga menyentuh mengenai keluarga yang berwawasan dan peranan anak-anak dalam merealisasikan institusi keluarga yang berwawasan.

“Keluarga yang harmoni dan mawaddah itu adalah keluarga yang berwawasan, dan untuk mendapat keluarga yang harmoni ini diharuskan untuk membentuk keluarga yang berkualiti dengan tidak meninggal suruhan Allah S.W.T dan menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai role model umat Islam dalam mendidik keluarganya”.

Beliau menekankan bahawa didikan agama daripada keluarga dapat mengelakkan generasi berwawasan daripada terjerumus dengan aktiviti-aktiviti sosial, oleh itu beliau menasihatkan setiap keluarga untuk tidak lalai mengingati Allah kerana kesibukan harta dan anak-pinak.

Manakala itu, penceramah motivasi yang tidak asing lagi, Haji Ali Yusri pula menekankan bahawa sikap ibu bapa serta penjaga dalam mencapai kecemerlangan anak masing-masing perlu diambil perhatian untuk menjadikan sebuah keluarga yang berwawasan dan Mawaddah.

“Ibu bapa harus mempunyai perubahan yang menjurus ke arah perkara yang positif,” ujarnya sambil menambah, adalah penting bagi ibu bapa dan penjaga mendisiplinkan anak-anak sedari awal serta menjadikan diri sendiri sebagai model peranan bagi anak-anak.

Beliau juga menyentuh, sebanyak 95 peratus ibu bapa mahukan anak-anak mereka menjadi seorang anak yang cemerlang dan berjaya, tetapi sayangnya ia hanya sebagai satu ucapan sahaja.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya memahami perasaan anak apabila mereka merasa sedih, letih, stres dan sebagainya, selain dinasihatkan untuk mencari pendekatan lain daripada yang lain yang boleh merapatkan hubungan antara anak dan ibu bapa.

ARTIKEL YANG SAMA