Institusi tempatan digesa teroka cara inovatif

Institusi tempatan digesa teroka cara inovatif

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Kita tidak boleh terus bergantung pada institusi luar negara untuk menyediakan pendidikan kepada profesional penjagaan kesihatan tempatan ekoran perubahan dasar pendidikan kesihatan yang akan memberikan impak yang signifikan kepada tenaga kerja penjagaan kesihatan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat serta kelangsungannya.

Menyedari akan hakikat ini, Brunei Darussalam kini progresif dalam membina kapasiti manusia dan infrastruktur dalam pendidikan penjagaan kesihatan selaras dengan visi untuk menyediakan penjagaan kesihatan dan menghasilkan penyelidikan perubatan dan kesihatan yang mencapai ke tahap antarabangsa.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika merasmikan Persidangan Sains Perubatan Malaysia, Indonesia dan Brunei ke-9 di Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, adalah penting bagi institusi tempatan untuk meneroka cara inovatif menyediakan pendidikan kesihatan yang bertaraf dunia dalam semua bidang dan menyeru supaya pihak ini untuk berfikiran terbuka dan menerima perubahan serta terus berusaha bagi membina sebuah negara yang responsif dan fleksibel.

“Saya menyeru supaya satu pendekatan yang menyeluruh dibuat bagi melahirkan pelajar yang mempunyai set kemahiran yang menepati permintaan pekerjaan termasuk kemahiran komunikasi kerana ini adalah penting bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang sebenar,” ujarnya.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan ucapannya.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan ucapannya.
Suasana ketika pembentangan ucaptama oleh Profesor David Koh.
Suasana ketika pembentangan ucaptama oleh Profesor David Koh.

Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan penyelidikan kesihatan adalah satu bahagian yang baru di UBD dan ia bukan hanya sekadar bergantung kepada pekerjaan dalam sektor kesihatan sahaja, sebaliknya perlu melibatkan gabungan dengan bidang lain seperti kejuruteraan.

“Peluang dalam penyelidikan pelbagai disiplin ini akan memberikan kelebihan kepada bidang yang tersendiri (niche) di negara ini dan sekali gus memanfaatkan kekayaan kepelbagaian bio, sumber alam semula jadi dan sektor teknologi tinggi yang kian meningkat masa ini,” tegas Pehin lagi.

Yang berhormat Pehin turut menyatakan harapannya supaya tema “Trans-disciplinary Approach in Healthcare Research” ini disambut baik para peserta dalam kerjasama pertukaran informasi dan perkongsian sumber maklumat terutama dalam mencapai sasaran saintifik dalam dunia penyelidikan penjagaan kesihatan hari ini.

Terdahulu Dekan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (ISKPAPRSB), Dr Hajah Maslina Haji Mohsin, Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dato Dr Raymond Azman Ali dan Setiausaha Fakulti Perubatan Universitas Indonesia Profesor Dr Saleha Sungkar turut menyampaikan ucapan masing-masing.

Majlis perasmian itu turut menyaksikan pembentangan ucaptama oleh Profesor David Koh dari ISKPAPRSB yang bertajuk “Managing Diseases – a Trans-diciplinary Approach”

Persidangan Sains Perubatan Malay-sia, Indonesia dan Brunei ke-9 yang berlangsung dua hari melibatkan 12 pembentangan kertas kerja serta penyertaan delegasi dari Malaysia dan Indonesia di samping pelajar dan peserta Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA