Insurans Islam TAIB hargai pelanggan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITH), semalam, telah mengadakan Hari Penghargaan Pelanggan yang dihadiri lebih 400 pelanggan yang mengunjungi cawangan-cawangan IITH yang terletak di kaunter-kaunter Takaful, Ibu Pejabat IITH di Kiulap dan cawangan Kuala Belait.

Acara yang diadakan selama sehari itu adalah sebagai menandakan Sambutan Ulang Tahun IITH ke-25 tahun pada 3 Mac lalu, di mana para pengunjung telah diberikan hidangan jamuan dan biskut yang direka khas bagi setiap pelanggan yang menjalankan transaksi di kaunter tersebut.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan IITH, Haji Abdul Majid bin Haji Hidup, acara tersebut merupakan tanda penghargaan kepada para pelanggan yang telah menyokong IITH selama ini.

“Kami memberikan perkhidmatan dan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan kami dengan mempelawa keluarga mereka untuk berkunjung dan menikmati jamuan sambil mempelajari produk-produk yang bermanfaat untuk keluarga mereka,” tambahnya.

Sebahagian pelanggan menikmati jamuan yang disediakan bersempena sambutan ulang tahun IITH ke-25 tahun, baru-baru ini.