Integrasi grid kuasa ASEAN di landasan

Integrasi grid kuasa ASEAN di landasan

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) – ASEAN berada di landasan yang betul ke arah menyepadukan sistem grid kuasanya dengan memperkenalkan dasar-dasar penting bagi membangunkan teknologi bersih, terutama tenaga boleh diperbaharui.

Ketua Pusat Kecekapan Dasar Tenaga dan Pasaran Tenaga, Institut Fraunhofer bagi Penyelidikan Sistem dan Inovasi di Jerman, Dr Wolfgang Eichammer berkata bagaimanapun menyepadukan kesemua dasar yang berbeza hala tuju bukan tugas mudah dan memerlukan masa yang lama serta interaksi pada semua peringkat.

“Seperti yang pernah dilalui oleh Kesatuan Eropah (EU), perlu diadakan lebih banyak perbincangan bagi mengharmonikan dan merealisasikan dasar-dasar tersebut disebabkan perbezaan teknikal dan sistem kawal selia setiap negara.

“EU mengambil masa kira-kira dua hingga tiga dekad hanya untuk menyepadukan sistem grid kuasanya,” katanya kepada pemberita di luar Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2015, di sini Isnin.

Eichhammer berkata sokongan penduduk ASEAN juga faktor penting dalam mengharmonikan dasar kerana ia akan mengubah cara hidup mereka sebaik dikuatkuasakan.

“Saya menggalakkan ASEAN mengubah cara berfikir dan menumpukan kepada dasar-dasar untuk meneruskan usaha membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui dan mempercepat pelaksanaan.

“Di Jerman, kami dapat sokongan daripada rakyat dan negara tetangga kami yang mendorong kami untuk mempercepatkan integrasi sistem grid kuasa,” katanya.