Integriti penting untuk bina jenama

Integriti penting untuk bina jenama

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Integriti perlu menjadi nilai teras sesebuah jenama bagi menawarkan sesuatu yang lebih nilai tambah dan dengan kesan positif, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz. Beliau berkata integriti, yang berkait dengan faktor manusia, merujuk kepada kejujuran serta daya mengetahui apa yang betul dan salah.

“Walaupun dalam produk atau perkhidmatan, atau organisasi, perlu dipastikan perkhidmatan atau produk yang ditawarkan adalah yang baik,” katanya ketika berucap pada majlis ‘Strongest Brands Award 2016’ di sini hari ini. Anugerah itu mengiktiraf jenama yang kukuh di Malaysia dalam 10 kategori, iaitu perbankan; insurans; automotif; syarikat-syarikat telekomunikasi; makanan dan minuman; infrastruktur dan harta; kecantikan; runcit dan juga penyiaran.

Rafidah berkata jenama tanpa integriti dapat bertahan dalam jangka yang singkat di pasaran.

Beliau berkata sesebuah jenama adalah untuk jangka panjang dan mesti berupaya menyerlah dalam kalangan persaing serta terus bertambah baik.

Rafidah berkata usaha berkenaan boleh menjadi sukar bagi jenama yang telah terjejas untuk mendapatkan kembali kepercayaan pengguna, dan kedudukan berkenaan boleh memberi peluang kepada pesaing.

“Oleh itu, anda perlu memastikan tiada apa yang berlaku sehingga menjejaskan jenama,” katanya.

Rafidah juga menekankan kepentingan tadbir urus bagi mana-mana bidang, terutamanya dalam sektor ekonomi. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA