Intelectasia lancar hab media digital

Intelectasia lancar hab media digital

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) – Intelectasia Consultancy, sebuah firma perhubungan awam terkemuka, melancarkan platform digital media pertama Malaysia dikenali sebagai ‘Supernewsroom’ bagi memudahkan organisasi dan media di negara ini menjalin hubungan dan kerjasama.

Ketua pegawai eksekutifnya, Man-minder Kaur Dhillon berkata walaupun Malaysia memiliki landskap media yang cergas, namun ia belum mempunyai tempat tunggal untuk menyimpan dan mengemaskinikan maklumat secara tepat masa.

“Supernewsroom menggunakan kecanggihan teknologi untuk memudahkan media dan organisasi berbuat demikian dengan meletakkan maklumat ke dalam talian, yang boleh dicapai pada bila-bila masa dan di mana jua,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran platform digital pertama Malaysia itu di sini hari ini.

Menurut Manminder, melalui Supernewsroom, organisasi akan dapat menghantar siaran akhbar dan jemputan media hanya dengan satu klik serta mengesan siapa yang menghadirinya melalui penggunaan alat Media RSVP.

Setakat ini, lebih 25 organisasi, termasuk badan korporat serta pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan, menyertai platform ini dan Intelectasia Consultancy menjangka lebih 500 organisasi menyertainya menjelang hujung tahun ini.

Manminder berkata langkah sedang diambil untuk menjadikan Supernewsroom suatu aplikasi peringkat serantau yang turut menyediakan pangkalan data media dari pelbagai negara seperti Singapura, Indonesia, Vietnam dan Hong Kong.

ARTIKEL YANG SAMA