Inter dan AC Milan sekadar seri

Inter dan AC Milan sekadar seri

MILAN, 21 Nov – Ivan Perisic berjaya menjaringkan gol penyamaan pada lewat waktu permainan untuk membantu Inter Milan seri 2-2 menentang AC Milan pada aksi derbi yang menyaksikan Suso mencetak dua gol untuk pasukan tuan rumah, dalam perlawanan yang berlangsung di San Siro, awal pagi tadi.

Suso memecah kebuntuan pada minit ke-43 sebelum menjaringkan gol cantik pada babak kedua selepas Antonio Candreva mengikat kedudukan dengan jaringan menarik yang mencetuskan kontroversi pada minit ke-53.

Bagaimanapun, kegembiraan Milan tidak bertahan lama apabila bintang Nerazzurri, Perisic tenang melakukan penyudah kemas menewaskan penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma pada minit pertama masa tambahan separuh masa kedua.

Milan kekal di tangga ketiga namun berkongsi mata dengan Roma tetapi ketinggalan tujuh mata di belakang Juventus sementara Inter melonjak ke tangga kesembilan liga.

Aksi kedua-dua pasukan pada perlawanan tersebut. - AFP
Aksi kedua-dua pasukan pada perlawanan tersebut. – AFP

Inter yang dikendalikan jurulatih baharu, Stefano Pioli menguasai babak pertama namun tergamam apabila Suso terlebih dahulu meledak gol pembukaan buat Milan menerusi jaringan lencong menewaskan Samir Handanovic.

Babak kedua menyaksikan tuan rumah memprotes keputusan pengadil yang tidak menghentikan permainan apabila Manuel Locatelli terjatuh selepas dikasari di garisan tepi dan lontaran ke dalam sampai kepada Candreva yang kemudiannya menewaskan Donnaruma daripada jarak 22 meter.

Namun Suso kembali meletakkan Milan di hadapan menerusi gerakan satu dua bersama Carlos Bacca sebelum dia melepasi kawalan Joao Miranda dan melepaskan rembatan untuk sekali lagi menewaskan Handanovic.

Usaha keras Inter untuk bangkit akhirnya terbalas apabila kesilapan Milan dihukum Perisic yang menyumbat gol penyamaan pada minit ke-90. – AFP