Inter: Icardi tidak dijual

Inter: Icardi tidak dijual

MILAN, 26 Julai – Inter Milan pada Isnin menegaskan kapten Mauro Icardi bukan untuk dijual ketika Napoli dilaporkan bersedia memberikan tawaran lumayan termasuk peranan masa depan dalam filem untuk penyerang Argentina itu.

Icardi, yang menjaringkan 16 gol dalam 33 perlawanan liga musim lalu, juga dilaporkan menjadi sasaran Arsenal serta naib juara Serie A Napoli, yang dijangka akan menjual penyerang Gonzalo Higuain ke Juventus minggu ini.

Isteri Icardi Wanda Nara, yang juga ejennya, telah mendengar tawaran untuk kapten kelab berusia 23 tahun itu ketika Inter menolak untuk merundingkan semula kontraknya.

Napoli akan menjadi destinasi pilihan Icardi jika Higuain seperti yang dijangka secara meluas, meninggalkan Partenopei untuk menyertai juara liga dan Piala Itali, Juventus. Satu laporan di Corriere dello Sport juga mencadangkan Icardi telah dijanjikan kontrak lima tahun bernilai 5.5 juta euro (AS$6 juta) semusim, pembelian klausa 100 juta dan peranan masa depan dalam sebuah filem yang diarahkan oleh pengeluar dan pemilik filem Napoli, Aurelio De Laurentiis.

Icardi tetap menjadi pemain kesayangan Inter walaupun Napoli menghulurkan tawaran lumayan. – AFP
Icardi tetap menjadi pemain kesayangan Inter walaupun Napoli menghulurkan tawaran lumayan. – AFP

Tetapi bagi pengarah sukan Inter Piero Ausilio, laporan itu mencetuskan fantasi. Beliau mengakui telah mengadakan pertemuan dengan Napoli tetapi menegaskan kelab itu sedang mencari untuk mengekalkan semua ‘pemain utama’ mereka menjelang musim baru.

“Sudah pasti ada pertemuan dengan Napoli, tetapi kami tidak menjual dia (Icardi) kepada Napoli, dan ia bukan soal wang,” Ausilio memberitahu media sebelum penerbangan Inter ke Amerika Syarikat untuk jelajah pra-musim.

“Tiada perjanjian. Inter akan mengekalkan Icardi, dan juga pemain lain. Cita-cita kami adalah untuk mengukuhkan skuad dan kelab dengan mengekalkan pemain terbaik kami.

“Saya tidak berminat dengan tawaran Napoli. Icardi tidak mempunyai klausa pelepasan dalam kontraknya dan Inter tidak mahu menjualnya. Itu saja.”

Icardi menggalas peranan sebagai kapten setahun yang lalu tetapi itu tidak menghalang spekulasi masa depannya sepanjang musim lalu. – AFP