Inter kalah mengejut, AC Milan menang tipis

Inter kalah mengejut, AC Milan menang tipis

ROME, 22 Ogos – Inter Milan mengalami kekalahan mengejut 2-0 di tangan Chievo, awal pagi hari ini yang menjadi kejutan terbesar pada hari pembukaan Serie A Itali musim ini.

Dua gol pada babak kedua oleh pemain sayap Chievo dari Slovenia, Valter Birsa menghasilkan mimpi ngeri buat pengurus baru Inter, Frank de Boer selepas pemilik baru kelab itu dari China tidak mencapai kesepakatan dengan bekas pengendali, Roberto Mancini.

Keputusan itu jelas melegakan penyandang juara Juventus yang turut bergelut pada perlawanan pertama menerusi kemenangan 2-1 ke atas Fiorentina, kelmarin selepas beberapa pencabar utama turut berdepan masalah sama.

Napoli yang menamatkan saingan di belakang Juve musim lalu terpaksa bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk berkongsi satu mata selepas seri 2-2 bertemu pendatang baru Serie A, Pescara.

Reaksi Chievo (dua kiri) selepas menjaringkan gol pada hari pembukaan Serie A Itali musim ini antara Chievo dan Inter Milan di Stadium Marcantonio Bentegodi di Verona. – AFP
Reaksi Chievo (dua kiri) selepas menjaringkan gol pada hari pembukaan Serie A Itali musim ini antara Chievo dan Inter Milan di Stadium Marcantonio Bentegodi di Verona. – AFP

AC Milan dalam pada itu menjaringkan gol kemenangan di saat akhir menerusi penalti untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Torino. Penyerang Colombia, Carlos Bacca muncul wira dengan menjaringkan hatrik buat Milan dengan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma turut menyelamatkan sepakan penalti Torino di lewat permainan.

Ia permulaan yang baik buat pengurus baru Milan, Vincenzo Montella dan lebih manis menewaskan kelab bekas pengurus, Sinisa Mihajlovic yang dipecat Milan, April lalu sebelum menyertai Torino. – AFP