Inter Milan belasah Udinese 4-0

Inter Milan belasah Udinese 4-0

MILAN, 13 Dis (Reuters) – Mauro Icardi meledak dua gol ketika kesilapan pertahanan lawan membolehkan Inter Milan melakar kemenangan 4-0 ke atas Udinese, sekali gus terus selesa di puncak carta Serie A dengan kelebihan empat mata, semalam.

Icardi dan Stevan Jovetic menjaringkan gol pada babak pertama selepas berlakunya kesilapan besar di barisan pertahanan lawan yang dikawal Bruno Fernandes dan Maurizio Domizzi. Pasukan dikendali Roberto Mancini itu kini mengumpul 36 mata daripada 16 perlawanan di atas penghuni tangga kedua Fiorentina yang dijadual berkunjung ke Juventus, hari ini. Udinese pula di kedudukan ke-15 dengan 18 mata.

Inter mendahului perlawanan pada minit ke-23 apabila Icardi menyudahkan hantaran Fernandes untuk menewaskan penjaga gol, Orestis Karnezis.

Mauro Icardi ketika cuba membuat rembatan ke gawang Udinese. –  AFP
Mauro Icardi ketika cuba membuat rembatan ke gawang Udinese. – AFP

Domizzi kemudiannya hilang kawalan pada minit ke-31 sekali gus membenarkan Jovetic untuk meledak jaringan seterusnya.

“Pada babak pertama, Inter tidak melakukan apa-apa tetapi kami hanya bertahan dan mereka meledak jaringan kerana kesilapan kami,” kata jurulatih Udinese, Stefano Colantuono. “Kami melakukan segala-galanya untuk mereka.”

Icardi menambah jaringan ketiga Inter pada minit ke-83 sebelum pemain gantian Marcelo Brozovic memuktamadkan perlawanan dengan jaringan untuk kemenangan 4-0 selepas itu.