Inter Milan hanya mampu seri

Inter Milan hanya mampu seri

MILAN, 29 Ogos – Mauro Icardi meledak gol pertamanya musim ini namun perancangan Inter Milan untuk kelayakan Liga Juara-Juara sekali lagi terjejas selepas diikat 1-1 oleh Palermo di laman sendiri, semalam.

Selepas tewas mengejut 2-0 di tangan Chievo minggu lalu, Inter berhajat besar untuk menebus kekecewaan mereka pada aksi sulung di laman sendiri musim dengan mereka turut memperkenalkan pemain baharu, Joao Mario sebelum sepak mula.

Palermo nyaris tersingkir daripada saingan liga musim lalu tetapi hampir mencemaskan kelab San Siro itu apabila Edoardo Goldaniga gagal menampan masuk sepakan percuma Oscar Hiljemark di awal permainan.

Inter cuba menjana beberapa serangan namun percubaan Gary Medel berjaya dikeluarkan di atas garisan gol oleh Sinisa Andelkovic sebelum tandukan Joao Miranda hasil sepakan sudut, Joao Miranda tersasar melewati palang.

Mauro Icardi mengawal bola semasa perlawanan Serie A antara Inter Milan dan Palermo di Stadium San Siro, Milan. – AFP
Mauro Icardi mengawal bola semasa perlawanan Serie A antara Inter Milan dan Palermo di Stadium San Siro, Milan. – AFP

Inter lebih menguasai permainan namun Palermo terlebih dulu memecah kebuntuan menerusi kesilapan Banega yang kehilangan bola dan sampai ke kaki Andrea Rispoli sebelum rembatannya terkena Davide Santon dan menerjah gawang selepas Samir Handanovic gagal menepis percubaan terbabit.

Namun, kemasukan Antonio Candreva yang menggantikan Ivan Perisic memberi impak segera kepada Inter Milan apabila hantaran lintangnya disudahkan Icardi yang tidak dikawal di dalam kotak penalti sekaligus mengikat kedudukan kepada 1-1.

Inter mensia-siakan peluang untuk mendahului apabila percubaan Eder hanya tersasar sebelum rembatan Candreva turut gagal menemui jaring sekali gus memaksa keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. – AFP