Inter Milan menang tipis

Inter Milan menang tipis

MILAN, 6 Dis – Roberto Mancini tetap mengharapkan sentuhan penyerang, Mauro Icardi untuk merekodkan 20 gol musim ini tatkala Inter Milan yang beraksi dengan 10 pemain meneruskan usaha memburu slot ke Liga Juara-Juara dengan menewaskan Genoa 1-0 dalam saingan Serie A, awal pagi tadi.

Icardi duduk di bangku simpanan buat kali kedua berturut-turut dengan Mancini memberi peluang kepada Rodrigo Palacio bermula dalam kesebelasan utama sebagai penyerang utama bergandingan bersama Stevan Jovetic.

Adem Ljajic bermula di bahagian kiri dan mencuri tumpuan tetapi pemain Serbia itu terlepas tiga peluang terbaik bagi menjaringkan gol pada babak pertama sebelum menemui sentuhan penyudah pada minit ke-59 menerusi sepakan percuma menarik dari bahagian kiri.

Ia adalah gol kedua berturut-turut bekas penyerang AS Roma itu selepas turut menjaringkan gol ketika Inter tewas 1-2 di tangan Napoli, minggu lalu dan sekali lagi menjadi pengganti kepada Icardi.

Bagaimanapun, Mancini berkata Icardi yang merekodkan 22 gol musim lalu untuk berkongsi status penjaring terbanyak Serie A dengan Luca Toni kekal sebagai penyerang nombor satunya.

“Malam ini (awal pagi tadi) dia tidak bermain dan itu tidak mengapa. Kami mempunyai beberapa penyerang utama dan ada ketikanya adalah baik dapat mengubah kedudukan mereka dan membuatkan pihak lawan tertanya-tanya.

“Mauro tetap penyerang nombor satu kami dan untuk kami layak ke Liga Juara-Juara, kami perlukan 20 gol daripadanya,” kata Mancini.

Icardy ketika ini adalah penjaring terbanyak Inter dengan empat gol diikuti Jovetic (3), Ivan Perisic (2) dan Ljajic (2). – AFP

ARTIKEL YANG SAMA