Inter Milan tewas 1-0

Inter Milan tewas 1-0

MILAN, 1 Feb – AC Milan merakam kemenangan 3-0 ke atas Inter Milan yang berpeluang bangkit namun melepaskan penalti ketika ketinggalan 1-0 selain pengendalinya, Roberto Mancini turut diarahkan keluar padang.

Sepakan penalti itu diambil penyerang gantian Inter, Mauro Icardi, yang tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas mengkritik Mancini minggu lalu, dengan percubaannya itu hanya terkena palang gol untuk sekali gus terlepas peluang menyamai jaringan pembukaan babak pertama daripada Alex.

Carlos Bacca dan M’Baye Niang segera melengkapkan kesengsaraan Icardi tatkala mereka menjaringkan dua lagi gol untuk Milan, yang gagal mencatat kemenangan dalam tiga aksi di antara mereka sebelum ini.

Terdahulu, Juventus menumpaskan Chievo 4-0 di tempat lawan untuk mencatat kemenangan ke-12 berturut-turut tetapi ia belum mencukupi untuk mengetepikan peneraju Napoli yang membelasah Empoli 5-1.

Gonzalo Higuain mencetak jaringan peribadi ke-22 pada musim ini sambil Jose Callejon dua gol dengan masing-masing satu jaringan oleh Lorenzo Insigne dan gol sendiri Michele Camporese melengkapkan kemenangan Napoli untuk berada pada laluan yang betul untuk merangkul gelaran pertama Serie A sejak 1990.

Sementara itu, Alvaro Morata meledak dua jaringan babak pertama di Chievo dan jaringan babak kedua oleh Alex Sandro dan paul Pogba menghadiahkan Juventus kemenangan 4-0 di tempat lawan.

Keputusan itu menyaksikan Napoli kini mengungguli saingan dengan 50 mata daripada 22 aksi, dua mata mengatasi Juventus dengan Fiorentina 42 dan Inter keempat dengan 41. Milan pula kekal di tangga keenam dengan 36 mata. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA