Inter mudah ke suku akhir

Inter mudah ke suku akhir

MILAN, 16 Dis (AFP) – Pendahulu Serie A, Inter Milan mara ke suku akhir Piala Itali selepas menundukkan Cagliari 3-0, sementara Alessandria terus mencipta kejutan.

Rodrigo Palacio menjaringkan gol pendahuluan buat anak buah Roberto Mancini pada minit ke-24, sebelum Marcelo Brozovic melebarkan jurang buat Inter menerusi gol kedua pada minit ke-71.

Pemain gantian, Ivan Perisic menambah duka buat Cagliari dengan gol hasil gerakan solonya, sembilan minit sebelum tamat perlawanan.

Sementara itu, selepas mengecewakan Palermo dengan kemenangan mengejut 3-2 di Sicily dua minggu lalu, kini giliran Genoa pula dimalukan Alessandria selepas gol kemenangan Riccardo Bocalon pada minit ke-113 membolehkan kelab divisyen tiga itu merekod kemenangan 2-1 ke atas kelab yang sedang bergelut dalam Serie A itu, sekali gus layak ke suku akhir.

Inter bakal bertemu pemenang antara Napoli dan Verona, sementara juara bertahan, Juventus akan melayan kunjungan Torino.

Alessandria pula akan menentang Roma jika pasukan itu berjaya menewaskan Spezia pada aksi di Stadio Olimpico awal pagi esok.

Pencabar kejuaraan Serie A, Fiorentina pula bakal beraksi menentang Carpi di laman sendiri, manakala Lazio pula akan melayan kunjungan Udinese dan AC Milan bakal bertemu Sampdoria di laman lawan.