Inter tewaskan Juventus 2-1

Inter tewaskan Juventus 2-1

MILAN, 19 Sept – Ivan Perisic memastikan kemenangan 2-1 Inter Milan ke atas juara bertahan Juventus, apabila menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan Serie A, awal pagi tadi. Kemenangan itu turut menyaksikan tuan rumah, Inter mencatatkan kemenangan Serie A pertama ke atas musuh ketat mereka dalam lapan perlawanan selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol di San Siro.

Pasukan di tangga ketiga, Roma terlepas peluang untuk memintas Juventus dalam carta liga apabila mereka tewas 0-1 di Fiorentina hasil jaringan Milan Badelj pada minit ke-81.

Genoa dan Udinese mensia-siakan peluang untuk menyamai mata dengan Juventus selepas masing-masing mengalami kekalahan kepada Sassuolo dan Chievo Verona.

Stephan Lichsteiner menyudahkan hantaran lintang Alex Sandro untuk Juventus mendahului pada minit ke-66, namun kapten Inter, Mauro Icardi menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

Icardi kemudian melakukan hantaran menarik untuk membolehkan Perisic menjaringkan gol pada minit ke-78, sembilan minit selepas pemain antarabangsa Croatia itu masuk sebagai pemain gantian.

Mauro Icardi yang menjaringkan gol penyamaan Inter Milan dalam perlawanan tersebut. – AP
Mauro Icardi yang menjaringkan gol penyamaan Inter Milan dalam perlawanan tersebut. – AP

Pemain tengah Inter, Ever Banega dibuang padang pada minit ke-90 selepas menerima kad kuning kedua tetapi mereka berjaya mengekalkan kedudukan itu untuk memberikan Juventus kekalahan pertama sejak 8 Mei lalu.

“Kemenangan ini adalah saat yang terbaik untuk peminat, kelab dan pasukan selain akan membentuk keyakinan kami,” kata jurulatih Inter, Frank de Boer kepada Sky Sport Italia.

“(Berdepan) Juventus sudah pasti memberikan anda motivasi tambahan tetapi kami katakan sebelum permainan yang kami terpaksa bermain sebagai satu pasukan dari awal hingga ke minit ke-90.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA