Inter, Verona kutip mata penuh

Inter, Verona kutip mata penuh

MILAN, 21 Feb (Reuters) – Inter Milan kembali menerima rangsangan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Sampdoria, seterusnya melonjakkan pasukan itu ke kedudukan keempat Serie A, malam tadi.

Inter membuka tirai jaringan menerusi Danilo D’Ambrosio pada babak pertama dan dua lagi menerusi Miranda dan Mauro Icardi pada babak seterusnya, sekali gus membenarkan anak buah Roberto Mancini menjamin kemenangan di San Siro.

Jaringan tunggal Sampdoria dihasilkan Fabio Quagliarella pada masa tambahan.

Kemenangan yang disaksikan oleh bekas jurulatih Jose Mourinho itu membawa makna Inter kini memintas AS Roma yang dijadual melayan kunjungan Palermo, awal pagi esok.

Inter kini 10 mata di belakang pendahulu Juventus yang terikat tanpa jaringan di Bologna kelmarin dan lapan mata di belakang penghuni tangga kedua Napoli yang akan bertemu AC Milan, esok.

D’Ambrosio (kiri) meraikan jaringan bersama Joao Miranda selepas menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak antara Inter Milan menentang Sampdoria di Stadium San Siro di Milan. – Reuters
D’Ambrosio (kiri) meraikan jaringan bersama Joao Miranda selepas menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak antara Inter Milan menentang Sampdoria di Stadium San Siro di Milan. – Reuters

Sementara itu, jaringan Luca Toni, Giampaolo Pazzini dan Artur Ionita membenarkan kelab tercorot dalam carta liga Hellas Verona meraih kemenangan 3-1 ke atas Cheivo.

Kemenangan itu adalah yang kedua buat mereka pada musim ini sekali gus menghidupkan semula harapan kelab untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Ionita menjamin kemenangan itu pada masa tambahan dengan rembatan lencong tatkala dua pemain Vangelis Moras (Verona) dan Nicolas Spolli (Chievo) di arah keluar padang pada babak kedua.

Verona kini mengumpul 18 mata, satu mata di belakang penghuni tangga kedua tercorot, Carpi.

ARTIKEL YANG SAMA