Internet berkualiti ke China

Internet berkualiti ke China

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Syarikat Telekom Brunei Berhad (TelBru) akan bekerjasama dengan sebuah syarikat pembekal khidmat telekomunikasi mudah alih China Telecom (Singapore), untuk menyediakan khidmat layaran Internet yang lebih berkualiti ke Republik Rakyat China bagi masyarakat negara ini terutama bagi komuniti syarikat China yang melabur dan beroperasi di negara ini.

Usaha sama itu juga merupakan sebahagian daripada rancangan TelBru untuk kemudahan telekomunikasi mudah alih yang canggih ke arah hasrat mewujudkan sebuah masyarakat pintar di negara ini, ujar Ketua Pegawai Pemasaran TelBru, Lim Ming Soon ketika ditemui media pada Forum Komunikasi China-Brunei.

Menyentuh mengenai forum yang berlangsung di The Empire Hotel & Country Club itu, beliau berkata, ia dianjurkan bersama oleh TelBru dan China Telecom bagi membantu 27 buah syarikat China yang beroperasi di negara ini menangani masalah penyambungan Internet berkualiti tinggi dan boleh harap ke China.

“Kini terdapat banyak syarikat kecil dan besar dari China yang beroperasi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negara ini dan kebanyakan mereka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kualiti dan kesukaran untuk mendapatkan penyambungan Internet dan telekomunikasi ke destinasi-destinasi tertentu di China,” kata beliau.

Beliau berkata, terdapat lebih 3,000 wilayah di China dan satu-satunya syarikat pembekal telekomunikasi tempatan yang memiliki khidmat Post Office Protocol (POP) menyeluruh ke setiap wilayah di kawasan pedalaman negara itu ialah China Telecom.

Lim Ming Soon ketika bercakap kepada pemberita.
Lim Ming Soon ketika bercakap kepada pemberita.

Sehubungan itu, TelBru telah mempelawa China Telecom untuk menggunakan kemudahan infrastruktur dan teknologinya bagi meningkatkan lagi kualiti perhubungan digital dan perkhidmatan Internet dari Negara Brunei Darussalam ke China.

Menurutnya, kerjasama itu juga bertujuan mempunyai tujuan timbal balik, iaitu untuk menyediakan khidmat sokongan kepada syarikat negara ini yang sedang melabur dan beroperasi serta syarikat tempatan lain yang berhasrat untuk mengembangkan jaringan perniagaan mereka ke China.

Ketika ditanya adakah munasabah kedua-dua syarikat pembekal telekomunikasi itu membelanjakan kos yang tinggi semata-mata untuk memenuhi keperluan sekumpulan kecil komuniti perniagaan China di negara ini, Lim berkata, kerjasama itu melibatkan infrastruktur yang sudah sedia ada, iaitu POP yang diwujudkan oleh TelBru di Singapura dan Hong Kong bagi menghubungkan Negara Brunei Darussalam dengan China.

Beliau menjelaskan, antara keistimewaan kerjasama dengan China Telecom adalah ia membolehkan TelBru mendapat akses berkualiti tinggi ke Tanah Besar China dan ini adalah baik bagi komuniti syarikat China yang melayari laman-laman sesawang dari China.

Menyentuh mengenai soalan salah seorang wakil syarikat China yang hadir mengenai kadar caj yang tinggi dikenakan di negara ini berbanding dengan caj di China, Awang Lim berkata, memang tidak dinafikan kadar caj telekomunikasi di negara ini agak tinggi berbanding dengan China kerana perbezaan ketara dalam jumlah pengguna di kedua-dua negara berbanding dengan pelaburan yang dilaburkan.

Bagaimanapun, akur dengan perbezaan kadar caj, Awang Lim berkata, satu cara untuk memberikan nilai tambah melalui perkongsian itu adalah, melalui kesepakatan dengan China Telecom, yang mana TelBru boleh menawarkan perkhidmatan berkualiti dan pemberkasan (bundling) kepada para pelanggan yang seterusnya akan merendahkan kos caj Internet.

Seramai 50 orang yang mewakili syarikat China ternama di negara ini dan peniaga tempatan yang mempunyai perniagaan di China telah diundang ke forum tersebut.

Forum yang mendapat sokongan penuh daripada pejabat Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam itu dikendalikan bersama oleh Lim Ming Soon dan Presiden China Telecom (Singapore), Lynn Lai.

ARTIKEL YANG SAMA