Interpol: Ubat palsu bernilai AS$7 juta dirampas di seluruh Asia

Interpol: Ubat palsu bernilai AS$7 juta dirampas di seluruh Asia

LYON, 22 Dis (AFP) – Interpol merampas ubat palsu bernilai AS$7 juta pada September lalu dalam satu operasi melingkungi 13 negara-negara Asia, menurut persatuan polis antarabangsa kelmarin.

Ubat-ubatan itu termasuk antibiotik, pil hipertensi dan malah vaksin penyakit anjing gila telah dirampas dari beratus-ratus farmasi dan pasar raya, termasuk berpuluh farmasi online, ketika Interpol cuba untuk mengekang penjualan meluas ubat palsu yang dihasilkan di rantau itu.

Interpol mengatakan dalam satu kenyataan yang mereka telah menangkap 87 individu semasa mengadakan tindakan tersebut yang ‘membawa bersama penguat kuasa undang-undang dan agensi-agensi pengawal atur ubat-ubatan untuk menyasarkan rangkaian jenayah terancang di sebalik jenayah farmaseutikal di Asia’.

“Operasi Storm VI menunjukkan ketekadan dan kecanggihan kumpulan jenayah yang terlibat dalam jenayah farmaseutikal, mencetuskan bahaya kepada kesihatan orang awam dan keselamatan penduduk,” kata Ketua Unit Keselamatan dan Kesihatan Global Interpol, Aline Plancon.

Negara-negara yang menyertai termasuk Afghanistan, Kemboja, China, India, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Pakistan, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengatakan perdagangan haram ubat-ubatan palsu itu kebanyakannya melibatkan Asia, Amerika Latin dan terutamanya Afrika, di mana ‘sistem peraturan farmaseutikal dan pemeriksaan ke atas aplikasi mereka adalah tidak kukuh’.