Intervensi awal penting dalam kemahiran numerasi

Intervensi awal penting dalam kemahiran numerasi

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Intervensi awal merupakan elemen penting dalam mewujudkan kemahiran numerasi sebelum pelajar melangkah ke peringkat pendidikan menengah.

Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Ahmad menjelaskan, setiap pendidik perlu lebih proaktif untuk mengenal pasti keperluan pendidikan pelajar seawal mungkin di samping menyediakan infrastruktur atau prasarana yang berpatutan.

Menurutnya lagi, jika intervensi awal ini dijalankan dan diimplementasikan seawalnya, besar kemungkinan bantuan untuk menyediakan program bantuan pembelajaran akan berkurangan sama ada di peringkat lower atau upper primary.

Beliau menekankan perkara ini semasa menyampaikan ucapan perasmian Seminar dan Bengkel Kebangsaan Numerasi 2016 anjuran Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Dewan Sukma Indera Sekolah Rendah Rimba II hari ini. Menyentuh mengenai seminar dan bengkel yang berlangsung hingga 11 Mei 2016 itu, beliau berkata, ia merupakan latihan perkembangan profesional penting dalam pembangunan kapasiti selaras dengan Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21.

Menurutnya lagi, tema seminar dan bengkel ini juga menekankan mengenai pengukuhan pengajaran dan pembelajaran asas numerasi pendidikan khas yang sangat relevan dan bertepatan.

Pengiran Sarimah merasmikan Seminar dan Bengkel Kebangsaan Numerasi 2016.
Pengiran Sarimah merasmikan Seminar dan Bengkel Kebangsaan Numerasi 2016.
Antara yang hadir pada Seminar dan Bengkel Kebangasaan Numerasi 2016.
Antara yang hadir pada Seminar dan Bengkel Kebangasaan Numerasi 2016.

Di samping itu, ia juga selaras dengan inisiatif utama kementerian iaitu peningkatan numerasi dalam kalangan pelajar yang menghadapi cabaran dalam penguasaan asas numerasi. Mengulas mengenai pakej numerasi yang baru diperkenalkan pada tahun 2014 dan telah diguna pakai pada awal tahun 2013, beliau berkata, ia telah menampakkan peningkatan dalam pencapaian pelajar.

Ujar beliau, dalam kaji selidik yang telah dijalankan oleh guru-guru Special Education Needs Assistance (SENA) dan Learning Support Teacher (LST) mengenai pakej numerasi, 92 peratus mengatakan ia sangat sesuai bagi mengenal pasti ke arah kelemahan pelajar. Manakala itu, pencapaian pelajar dalam Matematik sangat menggalakkan, 193 pelajar REP telah lulus dalam mata pelajaran matematik sementara 41 orang pelajar memperolehi gred A hingga C selain itu, enam pelajar berkeperluan khas di peringkat rendah mendapat keputusan PSR yang cemerlang iaitu empat orang pelajar REP dan dua pelajar IEP.

Seminar dan bengkel itu dihadiri oleh 350 orang yang terdiri daripada guru-guru besar, pegawai dari beberapa buah jabatan di Kementerian Pendidikan, guru-guru LST dan Home Room Teachers selain itu, 40 orang peserta terdiri daripada pegawai Unit Pendidikan Khas, guru-guru SENA dan ahli komiti numerasi.

Antara objektif seminar dan bengkel ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan peserta mengenai pelajar yang mempunyai cabaran dalam penguasaan numerasi selain meningkatkan pengetahuan peserta mengenai cara menangani masalah pembelajaran Matematik yang dihadapi oleh pelajar.

Selain itu, untuk memberikan pendekatan secara hand-on dan praktikal terutama dalam pengurusan dan pengajaran dan pembelajaran pelajar yang mempunyai cabaran dalam penguasaan Matematik.

ARTIKEL YANG SAMA