Inzaghi tunggu masa dipecat

Inzaghi tunggu masa dipecat

ROM, 30 April – Pemain legenda dan jurulatih AC Milan, Filippo Inzaghi hanya menunggu masa untuk dipecat selepas skuad bimbingannya dimalukan dengan kekalahan 1-3 kepada Genoa di laman sendiri, di San Siro awal pagi tadi.

Ia semakin jelas apabila pemilik kelab, Silvio Berlusconi dikatakan di peringkat akhir untuk menjual kelab itu kepada ahli perniagaan Thailand, Bee Taechaubol.

Bekas penyerang Itali berusia 41 tahun itu mencipta nama di Milan dengan melakar tiga kejayaan Serie A dan dua trofi Liga Juara-Juara Eropah sepanjang 11 tahun bersama kelab gergasi Itali itu.

Antara sumbangannya yang paling diingati ialah jaringan pada final Liga Juara-Juara 2008 ketika menewaskan Liverpool 2-1 yang juga gelaran ketujuh Milan.

Begitupun, nasib Inzaghi ketika bergelar pengurus utama Milan selepas dinaikkan pangkat daripada pengurus pasukan remaja, tidak begitu menjadi apabila kelab itu hanya mencatat 10 kemenangan musim ini.

Filippo Inzaghi hanya menunggu masa untuk dipecat selepas AC Milan tewas 1-3 kepada Genoa semalam. – Reuters
Filippo Inzaghi hanya menunggu masa untuk dipecat selepas AC Milan tewas 1-3 kepada Genoa semalam. – Reuters

Kini, jutawan Itali, Berlusconi dilaporkan hampir untuk menjual sahamnya di Milan dengan nilai 500 juta euro yang memberi bayangan bakal berakhirnya hubungan selama 16 tahun Inzaghi di Milan.

“Milan berada dalam hati saya dan ia akan sentiasa ada di sana. Kita lihat apa yang kelab akan fikir dan kita akan lihat esok,” kata Inzaghi.

“Saya tidak pernah berputus asa, dalam kerjaya saya, sama seperti ketika bermain. Saya boleh mendongak tinggi kepala saya kerana saya memberikan segala-galanya. Kelab akan membuat keputusan mereka,” katanya.

Sesiapapun yang akan memiliki dan mengendalikan Milan musim depan berdepan tugas sukar untuk mengembalikan kepercayaan peminat.

San Siro awal pagi tadi boleh dikatakan hampir lengang sebelum ejekan bergema sejurus wisel permainan ditiupkan yang menyaksikan Milan tumbang kepada Genoa di laman sendiri buat pertama kali sejatuk 57 tahun lalu.

Sebelum permainan, sekumpulan penyokong tegar Milan mempamerkan perkataan “Basta” atau “Cukup.”

“Ini adalah bola sepak. Ada malam yang baik dan buruk. Ia sebahagian daripada permainan. Kami berdepan pasukan yang lebih baik daripada kami dan layak menang,” kata Inzaghi mengulas perlawanan terbabit. – AFP