IOC gesa ahli guna era digital pikat belia

IOC gesa ahli guna era digital pikat belia

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) – Anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) digesa menggunakan sepenuhnya era digital untuk memikat belia membabitkan diri dengan sukan.

Pengasas dan ketua pegawai eksekutif kumpulan komunikasi pemasaran terbesar di dunia WPP, Sir Martin Sorrell, berkata ia adalah penting untuk IOC mengikut aliran masa kini jika mahu kekal dengan generasi masa depan seiring perkembangan media yang berubah dengan cepat.

“IOC dan Pergerakan Olimpik perlu terus berubah dan memikat belia termasuk penonton baru yang penting dalam pasaran yang berkembangan pesat.

“Nilai dan misi untuk menjadikan dunia lebih baik menerusi sukan dapat dan akan mengubah kehidupan,” kata Sorell.

Sorell berkata demikian dalam ucaptamanya mengenai penggunaan media oleh belia sewaktu Persidangan ke-128 IOC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari Sabtu.

Pengasas dan CEO WPP, Sir Martin Sorrell. – Reuters
Pengasas dan CEO WPP, Sir Martin Sorrell. – Reuters

Sorrell menggariskan cabaran dan peluang yang ada untuk Saluran Olimpik yang dijangka dilancarkan sebagai sebahagian daripada pembaharuan dalam Agenda Olimpik 2020, pada 2016.

“Anda (IOC) perlu berubah selari dengan aliran penggunaan baru dalam demografi yang lebih muda serta pasaran yang pesat berkembang, lebih banyak dalam talian serta mudah alih.

“Cabarannya adalah untuk mencari solusi yang mampu mencapai penonton baru, dengan pautan kepada platform yang sudah dimiliki.” katanya.

Sorrell berkata lebih daripada 50 peratus ‘waktu sedar’ generasi muda dihabiskan dengan melayari internet menerusi telefon pintar.

Katanya, kanak-kanak berusia antara lima dan 16 tahun menghabiskan purata enam jam setengah setiap hari dengan telefon mudah alih atau komputer mereka.

“Menjelang 2020 atau 2022, siapa tahu apa jumlahnya dan masa yang dihabiskan mereka,” katanya.

Sorell turut mencadangkan IOC menggunakan Sukan Olimpik Belia sebagai titik permulaan bagi memahami apa yang dikehendaki orang muda.

“Nasihat saya kepada anda, jika saya boleh berterus terang, adalah harus berani dan bangga untuk memberikan masa depan Pergerakan Olimpik menerusi aliran baru ini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA